PUTRAJAYA, 15 Dis — Faktor-faktor yang menyumbang kepada inflasi akan diberi fokus khusus dalam perbincangan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang ditubuhkan bagi mengatasi isu kos sara hidup yang membebankan rakyat terutama kenaikan harga barang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata setiap faktor seperti pendidikan, pengangkutan, utiliti serta makanan dan minuman akan dilihat secara lebih mendalam dengan melantik pakar ekonomi, peserta industri, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan yang benar-benar memahami isu-isu kepenggunaan dan dapat menjamin nasib rakyat.
“Pelantikan ini adalah penting bagi membolehkan kementerian dan pihak-pihak profesional ini mengadakan perbincangan holistik mengenai kos sara hidup di negara. Kita mahu memahami masalah yang dihadapi oleh sektor-sektor seperti pengangkutan dan pendidikan, serta mencari jalan terbaik untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada pengguna dan peniaga,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian di sini semalam.
Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, kerajaan telah bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup setelah beberapa perwakilan negeri telah mengetengahkan permasalahan itu. Majlis itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru, Hamzah berkata bahawa majlis itu akan bermesyuarat selepas semua terma rujukan dan tindakan yang perlu diambil selesai diperincikan dan ia (terma rujukan) itu dijangka selesai minggu pertama Januari depan.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pihaknya akan menggerakkan semua pengawai dan ketua jabatan untuk turun padang memberi penerangan kepada rakyat berhubung isu kos sara hidup agar mereka mengetahui dan memahani keadaan ekonomi semasa serta cara pengurusan kewangan yang betul bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan mulai Januari depan.
“Inilah KPI (Indeks Petunjuk P restasi) saya kepada mereka. Langkah ini amat penting kerana kos sara hidup bukan hanya melibatkan harga barang sahaja dan bukan hanya KPDNKK terlibat. Ia perlu dilihat secara keseluruhan dan melibat pelbagai elemen. Saya yakin penjelasan ini akan bantu rakyat fahami apakah dilakukan oleh kerajaan dalam membantu menangani permasalahan kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Hamzah memberitahu pihaknya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan membentangkan pindaan kepada Akta Koperasi 1993 pindaan 2007 (Akta 502) pada sesi Parlimen akan datang bagi memperkasakan agenda koperasi sebagai salah satu pemangkin ekonomi negara.
Katanya, pindaan itu juga akan membantu koperasi mempertingkatkan ekonomi domestik dengan menyentuh perkara-perkara urus tadbir dan peraturan berkenaan koperasi di negara ini. — Bernama
Sumber Faktor inflasi, fokus utama Majlis Tindakan Sara Hidup Negara