LOS ANGELES, 15 Dis — Ada pelbagai tempat makan menarik di serata dunia yang boleh dinikmati tetapi sembilan lokasi ini wajib dicuba.
Dua penulis berita makanan agensi terkenal Bloomberg mencadangkan 12 tempat makan menarik yang mereka pernah cuba dan suka menguar-uarkannya.
Daripada senarai penulis tersebut, ProjekMMO memilih sembilan yang kami fikirkan pelancong Malaysia mungkin berminat mencuba:
1. Maaemo, Oslo, Norway
Terletak dekat stesen kereta api utama Oslo, suasananya amat berbaloi bagi pengembara yang datang ke Norway.
Mendapat tiga bintang Michelin, satu-satunya restoran di negeri ini yang menerima anugerah berprestij itu, ia menyajikan hidangan Norway atau Nordik.
Hidangan tersebut termasuklah keju segar dengan telur ikan salmon salai dan udang kara Norway, langoustine.
Udang ini disediakan dengan ais kering untuk menghasilkan kabus yang beraroma seperti pokok pain.
2. Steirereck, Vienna, Austria
Digambarkan “Noma Austria”, restoran di bangunan lama ini dibina semula dengan dinding kaca agar pelanggan dapat menikmati pemandangan Stadtpark.
Hidangan ciptaan cef Heinz Reitbauer yang menarik termasuklah daging barbeku dengan krim kentang, biji popi biru dan herba “alpine sorrel”.
3. Elkano, Getaria, Sepanyol
Terletak di kawasan pantai antara Bilbao dan San Sebastian, Elkano sangat terkenal dengan masakan laut.
Resepinya mudah. Pemiliknya Aitor Arregui hanya memasak hidangan atas pembakar daripada arang pokok oak.
Hidangan istimewa di sini adalah ikan turbot yang dipanggang dengan sotong, resipi rahsia neneknya campuran minyak, cuka dan garam.
4. Mirazur, Menton, Perancis
Ia terletak di kaki gunung berdepan laut Mediterranean. Hanya beberapa ratus ela dari sempadan Perancis-Itali, anda boleh berkereta api dari Nice ke sini.
Walau hidangan tengah hari berharga €65 (RM317), namun ia amat berbaloi dengan menu udang kara biru, kacang koko Perancis dan sup rebusan herba chamomile, atau digelar “air anak muda”.
5. SingleThread Farms, Healdsburg, California
Cef Kyle Connaughtin menggunakan bahan-bahan semula jadi dari ladangnya untuk menghasilkan hidangan seperi kaviar yang ditabur atas tiram.
Masakannya banyak dipengaruhi Jepun kerana sudah bertahun-tahun memasak di negara itu.
6. Blue Hill at Stone Barns, Hudson Valley, New York
Kira-kira 45 minit dari Manhattan, restoran ini terletak di bangunan lama berbatu di dalam kawasan bekas ladang Rockefeller.
Dengan pemandangan indah Blue Hills, anda menikmati hidangan telur “terbaik dalam hidup anda”, yang dipanaskan hasil longgokan kompos.
Hot dognya daripada ubi bit dan daging babi yang diternak di situ. Apabila sampai, anda dihidangkan dengan pelbagai sayur-sayuran dari ladang itu.
7. Sushi Saito, Tokyo, Jepun
Dianggap sebagai “restoran sushi terbaik di dunia”, ia menyediakan hasil laut: aji (dimakan dengan halia), tuna, uni dan anago yang manis dan masin.
8. Cha ca la Vong, Hanoi, Vietnam
Hidangan ikan keli di sini dimasak dengan pelbagai herba, rempah dan cili.
Restoran ini sangat popular sehinggakan cef terkemuka Chris Shepherd sanggup terbang dari Houston, Amerika Syarikat untuk mencuba masakan di sini.
9. Helga’s Folly, Sri Lanka
Menghidangkan sajian tempatan, restoran ini terletak di sebuah hotel gaya gothic di kaki bukit dalam hutan tebal.
Anda boleh mengambil teksi dari bandar bersejarah Kandy untuk ke sini. Perjalanan ini pasti memberi pengalaman baru.
Hotelnya dihiasi lukisan misteri, ia satu-satunya ruang selamat antara pengunjung dengan harimau bintang dan hidupan-hidupan liar lain.
Baca seterusnya di Malay Mail Online.
Sumber Sembilan restoran dunia wajib cuba