Menteri berkata mereka yang tidak menyokong kerajaan kerap memainkan perkara berbaur perkauman dan keagamaan bila dekat dengan pilihan raya.
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi amaran kepada kumpulan mesra-pembangkang untuk tidak menimbulkan sentimen kaum atau agama.
Beliau menjawab kenyataan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji yang menjelaskan sebab orang bukan Islam tidak mahu menyertai Angkatan Tentera Malaysia kerana ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas.
Hishammuddin berkata kenyataan seperti itu berbahaya.
“Ini sesuatu yang kita akan nampak dengan lebih kerap bila dekat dengan pilihan raya – politik perpecahan, kebencian, kaum dan agama.
“Ini fenomena biasa oleh pembangkang dan mereka yang tidak menyokong kerajaan. Itu sangat menjejaskan dan berbahaya.
“Saya ingin menasihatkan mereka, kalau nak main perkara yang berbaur perkauman dan keagamaan, kalau nak berpolitik pun mesti ada had dan batasannya.
“Ini amaran saya kepada mereka,” katanya selepas melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju hari ini.
“Saya tahu bila dekat dengan pilihan raya, inilah perkara yang akan dibangkitkan dengan harapan kita berpecah.
“Dengan harapan politik kebencian akan memihak kepada mereka kerana mereka tiada agenda pendidikan, tiada agenda kesihatan, mereka tak bela pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita.”
Apabila ditanya sama ada terdapat kebenaran pada dakwaan itu, Hishammuddin berkata: “Itulah media sosial, apa yang boleh kita buat?
“Saya mahu lihat secara positif. Kalau media bertanggungjawab, anda akan beri liputan secukupnya ke atas perkara positif dan bukan sahaja perkara negatif.”
Menteri berkata mencapai keseimbangan kaum yang adil dalam ATM sebahagian daripada penunjuk prestasi utama beliau.
Menjawab isu orang bukan Melayu tidak mahu sertai ATM, beliau berkata mereka tidak boleh dipaksa menyertai ATM.
Arshad berkata dari 1960-an hingga penghujung 70-an, kakitangan ATM bukan Melayu membentuk 30% daripada keseluruhan tenaga kerja. Tentera laut dan udara mempunyai peratusan yang lebih tinggi.
Lama kelamaan, angka tu secara perlahan-lahan turun kepada sekitar 5% sekarang ini.
Arshad berkata dasar tindakan afirmatif kerajaan pada 1980-an menyerap masuk ke adalam pentadbiran tentera, Arshad berkata “kata-kata pelik seperti ‘orang kita’ telah merayap masuk ke dalam minda komander tentera.”
Walaupun ramai jeneral mudah disenangi dan peduli akan mereka yang di bawah jagaan mereka, “little Napoleons” di Kementerian Pertahanan – penjawat awam yang mempunyai kuasa – membuat dasar berkaitan dengan kenaikan dan menguatkuasakan peraturan tidak bertulis dan sistem kuota mengenai orang bukan Melayu, tambahnya.
Beliau juga mengalu-alukan kempen kementerian meningkatkan pengambilan orang bukan Melayu menyertai tentera.
Sebab orang bukan Melayu tidak sertai tentera
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Hishammuddin beri amaran jangan timbulkan sentimen kaum, agama