SHAH ALAM: Kelab Ketua-Ketua Balai (KKB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ditubuhkan bagi menjaga kebajikan ketua balai, selain meningkatkan kerjasama antara 34 balai di seluruh Selangor.
Presidennya, Azmel Kamarudin, berkata kelab itu membolehkan ketua balai bekerjasama, berkongsi idea dan ilmu pengetahuan dalam usaha memantapkan kerjaya serta memberi perkhidmatan terbaik.
"Kadang-kadang dalam satu operasi, kami perlu sokongan rakan dari balai lain. Adakalanya apabila sampai ke lokasi, hilang idea dan strategi bagaimana untuk menangani situasi di lokasi kejadian.
"Dengan adanya kerjasama dan perkongsian idea ini, kami pasti dapat memberi pekhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat," katanya katanya pada majlis pelancaran KKB, di sini, semalam.
Penubuhan kelab itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman.
Azmel yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam berkata, di Selangor, terdapat tiga kategori balai iaitu A, B dan C, yang diterajui oleh ketua balai dari pelbagai peringkat umur dari 20-an hingga 50-an.
Beliau berkata, Selangor mempunyai balai terbanyak berikutan kepadatan penduduk, malah menerima panggilan kecemasan paling tinggi berbanding negeri lain.
"Kira-kira 20,000 panggilan setahun diterima di Selangor. Contohnya, kira-kira 900 kes berlaku di kawasan seliaan BBP Sungai Pinang, tahun lalu, membabitkan kedua-dua kategori panggilan iaitu kebakaran dan khidmat khas kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, Azmi berharap penubuhan kelab itu dapat memantapkan lagi kepemimpinan setiap ketua BBP di Selangor, selain membantu ketua balai lain menyalurkan maklumat yang diperlukan.
"Saya harap KKB dapat memantapkan lagi kepimpinan dan menggalakkan percambahan idea untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik, termasuk memperbaiki sebarang kelemahan," katanya.
Sumber Kelab jaga kebajikan ketua balai