Keputusan Faeez, Syamim tepat

KUALA LUMPUR: Keputusan dua bekas pemain remaja kebangsaan Muhammad Noor Faeez Ibrahim dan Syamim Yusof berkelana ke luar negara tampak berbaloi apabila dilihat semakin menunjukkan peningkatan prestasi menjelang saingan Liga Hoki Malaysia 2018.

Pengendali Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan berkata, walaupun masih terlalu awal, namun beliau percaya perkembangan prestasi dua pemain itu dalam dua aksi persahabatan terakhir sebagai sesuatu yang positif.

Malah bekas penolong jurulatih negara itu turut memberi bayangan betapa Faeez yang juga pemain pertahanan dan Syamim (penyerang) akan mendapat peluang secukupnya beraksi sekalipun KLHC diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain import.

"Syamim mempunyai kelebihan tersendiri dan dia sememangnya terbukti memiliki sentuhan pemusnah dalam kawasan D, cuma dia perlu perkemaskan beberapa bahagian lain lagi.

"Bagi Faeez pula jika dibandingkan dengan tahun lalu, saya lihat dia ada peningkatan terutama dari segi ketenangan apabila memegang bola dan lebih kemas dalam melakukan hantaran dan saya memberi jaminan semua pemain akan dapat peluang beraksi," katanya.

KLHC setakat ini mengekalkan rekod bersih menang dua aksi pemanas badan dengan menumpaskan Maybank 4-0 dan TNB Thunderbolts 5-2 menjelang aksi pembukaan Piala Tan Sri P Alagendra menentang Kedah Hockey Team, Rabu ini.

Syamim yang meledak dua gol ketika mengatasi Maybank kelmarin, sebelum ini berkelana selama tiga bulan bersama pasukan Divisyen 2 Itali, Pistoia dan kemudiannya ke Oman selama sebulan untuk mewakili Al Nasr.

Faeez, 26, yang namanya sedikit tenggelam selepas mengetuai Malaysia meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013 pula memilih ke Scotland dan Oman bagi meningkatkan tahap kecergasannya.

Ditanya mengenai lambakan pemain import dan pemain tempatan yang berkualiti, Chiow Chuan mengakui tidak bimbang dengan situasi pening kepala untuk memutuskan kesebelasan terbaik.

"Ia sebenarnya perkara yang bagus buat KLHC, kerana secara tak langsung memastikan kami mempunyai pemain sokongan yang bagus dan juga memastikan pemain dapat rehat secukupnya kerana kami perlu mengharungi 17 perlawanan dalam tempoh lima minggu."



Sumber Keputusan Faeez, Syamim tepat

Post a Comment

Previous Post Next Post