Pelakon Azrel Ismail, 33, yang kini memiliki kulit muka mulus, menafikan membuat rawatan kosmetik.
Katanya, dia hanya melakukan rawatan biasa setiap minggu di spa kecantikan seperti mencuci muka, buang jeragat dan bintik hitam.
“Saya memang menitik berat penjagaan kulit wajah kerana ia penting untuk karier sebagai pelakon dan model.
“Saya lakukan sekali seminggu kerana wajah terdedah dengan pelbagai jenis produk mekap,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui.
Pelakon drama Fajar Di Bukhara ini akui mencuci muka di rumah tidak cukup untuk memastikan segala kekotoran dan bahan kimia dari mekap betul-betul dibersihkan dengan berkesan.
“Saya lebih yakin dengan perkhidmatan rawatan di spa kecantikan kerana dilakukan pekerja terlatih.
“Saya juga tidak kesah memperuntukkan sedikit wang untuk rawatan muka setiap minggu.
“Ini cara saya menjaga penampilan diri kerana mahu sentiasa segak dan bergaya,” katanya.
Memiliki ketinggian 1.74 meter, Azrel akui perlu peka dengan penjagaan wajah kerana ia aset utama untuk cari makan sebagai pelakon dan model.
“Bagaimanapun, saya tak akan melakukan rawatan yang bukan- bukan seperti suntik botoks atau pembedahan muka.
“Saya bersyukur dengan wajah dikurniakan Allah SWT, cukup hanya melakukan penjagaan asas.
“Saya juga tidak lupa mengambil vitamin C untuk kulit,” katanya.
Sumber: Metro
Sumber Kulit muka makin mulus, Azrel Ismail nafi buat rawatan kosmetik