COLOMBO: Datuk Seri Najib Razak yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Sri Lanka, diberikan sambutan rasmi oleh Presiden, Maithripala Sirisena, pagi tadi.
Kenderaan pemimpin negara yang diiring pasukan berkuda polis dari hotel penginapan, tiba di Sekretariat Presiden jam 10 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
Sebaik tiba, Perdana Menteri disambut dengan tarian tradisional, Kandian, sebelum diperkenalkan kepada Sirisena oleh Setiausaha kepada Presiden, Austin Fernando.
Perdana Menteri kemudian memeriksa perbarisan tentera diiringi 21 das tembakan meriam, disusuli pertemuan empat mata bersama Sirisena.
Mereka dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama delegasi masing-masing.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu.
Najib dan Sirisena turut dijadual menyaksikan majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman (MoU).
MoU pertama adalah antara kerajaan bagi kerjasama bidang latihan diplomat dengan Malaysia diwakili Reezal manakala Sri Lanka diwakili Menteri Luarnya, Tilak Marapana.
Kedua, kerjasama dalam bidang sains antara Sekretariat Penyelarasan bagi Sains, Teknologi dan Inovasi Sri Lanka (COSTI) yang diwakili Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Penyelidikannya, Udaya R Seneviratne dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.
Ketiga, MoU kerjasama Aktiviti Sains, Teknologi dan Inovasi serta Sektor Bioteknologi antara Malaysian Bioeconomy Develoment Cooperation Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain dan COSTI yang turut diwakili Seneviratne.
Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, membuat lawatan kerja rasmi pertama ke negara ini sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini.
Hari ini, Setem Peringatan dan Hari Pertama sempena hubungan diplomatik ke-60 tahun kedua-dua negara turut dikeluarkan.
Najib dan delegasi akan dirai pada majlis jamuan makan tengah hari yang dihoskan Sirisena di Istana Presiden, hari ini.
Petang ini, Perdana Menteri akan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama penggerak industri dari Malaysia, Sri Lanka dan firma antarabangsa.
Ia merangkumi sektor perkhidmatan termasuk telekomunikasi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembuatan, pelancongan, perkhidmatan kewangan selain bidang pertanian.
Malam ini, Najib dan isteri dijangka menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia.
Sumber Najib diberi sambutan rasmi di Sri Lanka