TAWAU: Projek menaik taraf Hospital Tawau membabitkan pembinaan blok bangunan baharu tujuh tingkat dan beberapa kemudahan lain meningkatkan kualiti kemudahan kesihatan, seterusnya memberi keselesaan kepada hampir 500,000 penduduk daerah ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata projek yang dilaksanakan di kawasan hospital sedia ada seluas 0.76 hektar membabitkan kos RM223.64 juta itu dijangka siap pada Mei 2020.
Katanya, ia adalah inisiatif kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit serta warga kerja Hospital Tawau.
"Projek ini membabitkan penambahan 154 katil daripada 401 sedia ada menjadikan keseluruhan 555 katil untuk menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.
"Disamping itu, ia bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan harian melalui usaha menaik taraf kemudahan klinik pakar, Unit Hemodialisis serta Jabatan Kecemasan dan Trauma," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah dan Menaik Taraf Hospital Tawau di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad.
Mengulas lanjut, Ali berkata, projek menaik taraf itu turut membabitkan pembinaan enam dewan pembedahan, 38 klinik pakar, kecemasan dan trauma, selain menaik taraf Jabatan Radiologi yang bakal dilengkapi kemudahan lebih canggih dan terkini.
Di samping itu, katanya, kemudahan lain disediakan ialah ruangan pejabat dan perkhidmatan sokongan seperti farmasi pandu lalu.
"Kemudahan untuk orang awam seperti lobi utama, kafeteria, kedai serbaneka, surau, kawasan letak kereta dan tandas juga akan disediakan dalam usaha Kementerian Kesihatan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan rawatan kepada pesakit," katanya.
Beliau berkata, fasiliti kesihatan yang memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) khususnya dari segi kawalan jangkitan dan keselesaan serta privasi ketika mendapatkan rawatan dapat disediakan.
"Hasil daripada naik taraf ini juga, kapasiti pelayanan kesihatan dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit akan meningkat, di samping tempoh menunggu untuk tarikh pembedahan elektif dan prosedur endoskopi dipendekkan.
"Dengan penambahan perkhidmatan baharu, impak perbelanjaan dapat dikurangkan yang mana sebelum ini hospital terpaksa menanggung kos penghantaran pesakit ke Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan tertentu," katanya.
Sumber Naik taraf Hospital Tawau siap 2020