Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata langkah ini akan membantu negara-negara berpendapatan rendah di ASEAN mendapat manfaat, yang seterusnya, akan memperbaiki kehidupan masyarakat mereka.
Katanya, program VIP, yang telah dijalankan sejak tiga tahun lepas, kini sedang diadakan di Kemboja dan Indonesia.
Pengembangan idea bagi tahun keempat telah dibuat berikutan kejayaan program-program VIP di negara berkenaan di bawah Inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), katanya lagi.
"Kita perlu membantu masyarakat di Laos, Vietnam dan Myanmar, khususnya Rohingya."Itulah sebabnya mengapa Malaysia menawarkan bantuan untuk menyediakan sebuah hospital di Cox Bazar dengan kemudahan moden untuk mereka. Saya diberitahu masyarakat Rohingya ini, tidak mahu keluar dari hospital tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Program Fellowship VIP di sini hari ini.
Mohd Irwan berkata program itu telah memberi kesan kepada 25,105 penerima faedah di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia sejak tiga tahun lepas.
Sebanyak 29 warga asing dan 19 penduduk tempatan menyertai program VIP 2017, bekerja dalam 10 projek berimpak lestari di seluruh ASEAN khususnya di bandar dan desa.
Katanya, program VIP ini bertujuan untuk mengumpul golongan profesional bagi menyumbang kepakaran mereka kepada pembangunan sosial serta ekonomi Malaysia dan ASEAN melalui aktiviti-aktiviti sukarelawan.
Mohd Irwan, yang juga hadir bagi menutup program Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M), menambah kerajaan sentiasa memberikan rakyat Malaysia peluang untuk meningkatkan kemahiran diri mereka dan berusaha ke arah visi Transformasi Nasional 2050 (TN5O).
Beliau berkata ini adalah selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam pembangunan ekonomi, kesejahteraan hidup rakyatnya dan inovasi.
"Kita mahu memperbaiki standard Bahasa Inggeris dengan mengajar kemahiran asas komunikasi dalam bandar dan luar bandar yang akan meningkatkan peluang mencari kerja serta mempromosikan perniagaan dalam pertumbuhan negara untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju daripada aspek ekonomi.
Program BI1M program menggunakan kembali perkhidmatan bekas-bekas guru, pesara dan pengalaman graduan-graduan yang baru bekerja sebagai fasilitator tempatan. Ia membabitkan lebih 218 acara komuniti dan telah memberi kesan kepada 15,485 individu sejak dua tahun lepas.
Pada majlis itu, Mohd Irwan turut menyampaikan sijil kepada sukarelawan dan peserta-peserta program.
-- BERNAMA
Sumber VIP Fellowship dikembangkan ke Laos, Vietnam dan Myanmar - Mohd Irwan