"Berhenti merokok berdekatan dengan mereka yang tidak merokok! Perokok pasif lebih berbahaya berbanding perokok itu sendiri!" demikian tulis Dewi Sartika dengan tegas di Facebooknya 30 Disember lalu.
Dewi telah bertunang dengan lelaki pilihannya, Fajar Saputra, 24, setelah menjalinkan hubungan selama tujuh tahun. Mereka sepatutnya bernikah pada 6 Januari lalu, namun Fajar telah meninggal dunia pada 19 Disember lalu.
Menurut perkongsian Dewi, Fajar meninggal dunia kerana masalah paru-parunya yang gagal berfungsi dan dipercayai ia berpunca daripada asap rokok.
Fajar katanya telah setahun lebih bertarung nyawa menghidap masalah itu, namun akhirnya menghembuskan nafas terakhir 19 hari sebelum tarikh pernikahannya bersama Dewi.
"Satu tahun lebih dia berjuang dan bertahan tetapi akhirnya dia meninggal dunia akibat asap rokok yang dihidu dari perokok. Allah lebih sayangkan dia, Allah juga mungkin sayangkan saya dan tidak mahu saya bersedih melihat dia sakit.
"Setiap malam dia terbangun menahan dadanya yang terasa sesak nafas. 19 Disember lalu, dia menghembuskan nafas terakhir, 19 hari sebelum dia sempat mengikrarkan janji suci itu (hari pernikahan). Ya, 6 Januari 2018 di mana dia akan berjani di hadapan Allah dan menjabat tangan ayah saya, mengucapkan ijabkabul itu.
"Tujuh tahun saya menunggu dan menyangka ini semua hanya mimpi buruk. Tetapi apabila terbangun, saya terpaksa menerima kenyataan yang menyakitkan ini," luahnya yang juga membuatkan netizen terasa sebak dan sayu dengan kehilangannya itu.
"Kalau awak rindu, datang ke mimpi saya. Malam tadi awak tak datang jenguk saya dalam mimpi.
"Selamat jalan kekasihku, terima kasih kerana pernah menemani saya sehingga maut yang memisahkan kita. Terima kasih di atas ucapanmu yang membenarkan saya sebagai wanita terakhirmu," luahnya.
Status Facebook itu telah dikongsi lebih 83,047 kali dan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang bersimpati dengannya.
Takziah diucapkan, semoga Dewi tabah menghadapi ketentuanNya.
Sementara itu, golongan perokok dinasihatkan agar tidak merampas hak insan lain yang bukan perokok untuk bernafas tanpa sebarang asap rokok. Juga diingatkan jangan sesekali merokok di tempat-tempat awam termasuk tangga kecemasan, tandas, premis makanan dan yang sewaktu dengannya.
Jangan sehingga perkara seperti ini berlaku kepada keluarga sendiri, baru nak insaf. Ketika itu, sudah terlambat.
Sumber '19 hari sebelum sempat mengikrarkan janji suci itu, dia hembuskan nafas terakhir' - Tunang gadis ini meninggal dunia akibat terhidu asap rokok
Tags:
thereporter