2 program diploma perkasa profesionalisme JKKK

ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menawarkan dua program pendidikan diploma kepada pemimpin dan pelapis dalam institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka bermula tahun ini.

Selain JKKK dan JKKK Persekutuan (JKKP), dua program iaitu Diploma Eksekutif Pembangunan Luar (DEPLB) yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) dan Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut ditawarkan kepada JKKK Orang Asli (OA).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata bagi tahun ini sebanyak 140 tempat ditawarkan bagi mengikuti DEPLB, selain 20 tempat lagi melalui Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar).

"Kita mahu tahap profesionalisme JKKK, JKKKP dan JKKKOA ditingkatkan setaraf pegawai kerajaan lain dalam memimpin kawasan kampung masing-masing, berikutan tugas mereka menjadi lebih penting pada masa depan.

"Ini kerana kita mahu menyerahkan kepada JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari segi melaksanakan segalanya (tugas berkaitan)...selain menjadi 'mata dan telinga' kerajaan, mereka juga harus memantau projek yang kita jalankan.

"Jadi, kita menawarkan dua program diploma ini. Sehingga kini kita dimaklumkan ada 78 pemimpin dalam ketiga-tiga kategori yang sudah berdaftar," katanya berucap sempena Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UniKL Zon Utara yang dihadiri 600 pemimpin JKKK, JKKKP dan JKKKOA, di sini, hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (lima, kanan) bergambar bersama pemenang-pemenang 'Grand Finale BizGrip 2018 (Kategori Ideatlon) pada Program 'Building Leaders and Entrepreneurial Society '(BLESS) Zon Utara hari ini. Program dua hari itu disertai oleh 1,500 usahawan dan bakal usahawan luar bandar di Zon Utara. BLESS adalah program keusahawanan yang holistik dan komprehensif dengan menyasarkan penglibatan usahawan di semua peringkat mikro, kecil dan sederhana. - Foto BERNAMA

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan sijil kepada 20 penerima yang berjaya menamatkan kursus pada tahun 2017 bagi Zon Utara.

Sepanjang tahun lalu, seramai 4,127 kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari seluruh negara mengikuti program sijil itu yang dilatih INFRA dengan kerjasama UniKL dan tahun ini, kementerian menyasarkan 5,000 lagi pemimpin dalam kategori sama untuk mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa.

Ismail Sabri berkata, tempoh pengajian DEPLB adalah selama dua bulan membabitkan kos pengajian RM4,800 dengan peserta berkelayakan mendapat pembiayaan penuh.

"Bagi Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) pula tempoh pengajian dari setahun setengah hingga dua tahun dengan kos pengajian RM28,000 dan 30 peratus kos dibiayai kementerian," katanya.

Sementara itu, peserta Sijil Tadbir Urus Desa, Hallam Shah Abdul Latiff, 47, yang juga Pengerusi JKKKP Desa Putera di Bayan Baru, Pulau Pinang, berkata melalui program selama tiga hari itu, beliau diberikan pendedahan untuk mengkoordinasi kawasan dipimpinnya supaya dapat membuat penambahbaikan berdasarkan situasi geopolitik kini.

"Kami juga diberi pendedahan mengatur dana daripada kementerian dengan baik, selain diajar membuat permohonan dan penilaian untuk menambah baik infrastruktur awam di kampung," katanya yang menyertai institusi JKKKP sejak 2013.

Pengerusi JKKKOA Kampung Tangkai Chermin di Batu Gajah, Jasmi Che Dun, berkata melalui program ini, beliau dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, selain didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat.

"Masyarakat kami dikaitkan dengan rasa rendah diri, jadi melalui program ini ia dapat membina jati diri yang baik," katanya yang sudah dua tahun memimpin kira-kira 455 komuniti di kampungnya.



Sumber 2 program diploma perkasa profesionalisme JKKK

Post a Comment

Previous Post Next Post