4 kenderaan pegawai kanan Kastam dibakar?

EMPAT kenderaan di hadapan rumah Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Presint 11, Putrajaya terbakar awal pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Nor Azman Mat Jini, 59, isteri, Noor Hayati Khairuddin, 57, serta anak perempuan dan menantu serta dua cucu sedang tidur di tingkat atas dan bawah kediaman berkenaan.

Dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya, manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Md Hilman Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.54 pagi, dan tiba di lokasi kejadian pada jam 4.07 pagi.

“Lapan anggota dengan satu jentera dikejar ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya kira-kira setengah jam.

“Kebakaran dipercayai bermula dari kereta Mercedes Benz sebelum merebak ke tiga kereta lain dan mula masuk ke bahagian depan rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Md Hilman berkata, ketika kejadian enam penghuni berada di dalam rumah berkenaan iaitu pegawai kanan JKDM, isteri, anak, menantu dan dua cucu berusia enam serta dua tahun.

Katanya, penghuni tidak mengalami sebarang kejadian kerana berjaya keluar melalui pintu belakang rumah.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan anggaran kerugian. Unit forensik dan dua anjing pengesan turut dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

“Sekarang kita tidak boleh mengesahkan sama ada kejadian itu mempunyai unsur sabotaj atau sebaliknya, sebelum siasatan selesai,” katanya.

Menurutnya, semua bukti yang diambil di lokasi kejadian akan dihantar ke makmal untuk diuji, dan keputusan dijangka dapat diketahui dalam minggu ini.

 

 

Sumber: Harian Metro



Sumber 4 kenderaan pegawai kanan Kastam dibakar?

Post a Comment

Previous Post Next Post