AADK Negeri Sembilan sasar sifar penagihan menjelang 2045

SEREMBAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menyasarkan sifar penagihan di negeri ini menjelang tahun 2045, kata Pengarah Nazira Sadiron.

Ke arah mencapai matlamat itu, pihaknya mensasarkan penurunan sebanyak 10 peratus di kalangan penagih baharu dan penagih berulang dalam tempoh setahun.

Katanya, daripada statistik AADK dua tahun lepas, trend penggunaan dadah merekodkan penurunan sekitar enam peratus.

"Daripada statistik kami, sebanyak 2,567 kes penagihan dadah direkodkan di seluruh negeri ini pada  2016 dan pada 2017, ia menunjukkan sedikit penurunan  kepada 2,413 kes iaitu kira-kira enam peratus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama AADK, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah Seremban di sini, pada Rabu.

Nazira berkata pihaknya akan terus menggandakan lagi usaha membanteras isu penagihan dadah terutama penagih baharu.

"Kita menumpukan kepada kawasan-kawasan yang panas dahulu untuk membanteras kegiatan ini dan diikuti dengan kawasan-kawasan yang lain sehingga negeri ini sifar penagih dadah," katanya sambil menambah golongan penagih kebanyakannya adalah belia dan Seremban merekodkan paling ramai jumlah penagih dadah.

Turut hadir Pengarah Jabatan Komuniti dan Perhubungan Awam MPN Saiful Azuar Ahmad Jadi.

-- BERNAMA



Sumber AADK Negeri Sembilan sasar sifar penagihan menjelang 2045

Post a Comment

Previous Post Next Post