Tasha yang merupakan adik kepada pelawak terkenal, Achey Bocey tersenarai sebagai salah seorang daripada 14 peserta yang bakal beraksi dalam program lawak terbaru terbitan Astro ini.
“Sebelum ini saya sudah banyak kali menyertai sesi uji bakat dalam pelbagai bidang termasuk nyanyian dan lakonan, tetapi nasib belum menyebelahi.
“Namun tak sangka pula percubaan saya untuk menyertai program lawak diterima untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Apa pun ia tiada kaitan dengan abang saya kerana sepanjang terlibat dengan proses uji bakat, saya tidak pernah mendedahkan hubungan kami kepada sesiapa kerana mahu orang menilai bakat saya tanpa dipengaruhi nama abang saya,” jelas Tasha kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, kata Tasha, Achey juga awal-awal lagi telah memberi peringatan kepadanya agar berusaha sendiri untuk mengetengahkan bakatnya, tanpa dibayangi sesiapa.
“Abang saya seorang yang cukup tegas. Walaupun dia menyokong penglibatan dalam program ini, namun dia tidak saya melalui jalan yang mudah.
“Dia ada membantu saya dalam memberikan panduan dan nasihat berdasarkan pengalamannya, tetapi awal-awal lagi dia dah beritahu takkan bantu saya buat content kerana mahu saya berdikari.
“Jadi saya harap orang ramai memberikan peluang kepada saya untuk membuktikan bakat sendiri dan bukan kerana saya merupakan adik kepada Achey, “ tegas Tasha ketika di temui di majlis Sidang Media Program Gegar Lawak yang berlangsung petang Isnin.
Gegar Lawak yang bakal bersiaran pada 19 Januari ini, menampilkan Kamal Adli dan Fad Bocey sebagai pengacara.
Sementara itu, program berlangsung selama lapan minggu ini juga turut menampilkan Tauke, Dzawin, Ali Puteh dan Nizam Jentik-Jentik sebagai rakan komedi, sekali gus bertindak sebagai penasihat kepada peserta.
Sumber Adik Achey Bocey sertai pertandingan Gegar Lawak