Foto: malaysianreview
AirAsia meningkatkan operasinya ke Maldives dengan pelancaran perkhidmatan tambahan yang akan dikendalikan oleh syarikat sekutunya AirAsia X, sebagai tambahan kepada penerbangan harian yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia.
AirAsia X akan mengendalikan perkhidmatan tambahan Kuala Lumpur-Malé sebanyak empat kali seminggu di bawah kod syarikat penerbangan D7 yang menggunakan pesawat Airbus A330-300, bersamaan dengan penambahan sebanyak 156,000 tempat duduk setahun, dari 6 Februari 2018.
Tambang promosi dari serendah RM199 untuk penerbangan tambahan ini dan semua penerbangan ke Maldives boleh didapati di airasia.com dari hari ini sehingga 14 Januari 2018 bagi tempoh penerbangan dari sekarang sehingga 6 Mei 2018. Tetamu yang terbang bersama AirAsia X juga boleh menempah tempat duduk Premium Flatbed hanya dari RM699 bersama promosi ini.
AirAsia kini mengendalikan penerbangan harian menghubungkan Kuala Lumpur dan Malé, ibu negara Maldives, dengan menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti sebanyak 180 dan 186 tempat duduk. AirAsia X akan mengendalikan laluan yang sama bermula 6 Februari 2018 menggunakan pesawat Airbus A330-300 dengan kapasiti sebanyak 377 tempat duduk, termasuk 12 tempat duduk Premium Flatbed.
Ini akan membawa jumlah penerbangan mingguan kepada 11 kali dengan kapasiti tahunan sebanyak 287,000 tempat duduk antara kedua-dua negara. Pada tahun 2017, AirAsia Malaysia telah membawa lebih daripada 106,000 tetamu antara Kuala Lumpur dan Maldives.
Para tetamu AirAsia kini akan mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan dengan sambungan rangkaian lebih baik ke Maldives dari destinasi - destinasi seperti Guangzhou, Manila, Seoul, Melbourne dan lain-lain melalui perkhidmatan Fly-Thru dengan satu perhentian di Kuala Lumpur.
Sumber AirAsia Kerapkan Penerbangan Ke Maldives Dengan Promosi Serendah RM199 Sehala