Ambil tindakan siapa hina raja — Ti Lian Ker

16 JANUARI — Budaya ketimuran kita lemah-lembut, bersopan-santun dan menghormati adat, tradisi dan institusi. 

Maka kita marah dan tidak dapat berdiam diri apabila individu tertentu, lebih-lebih lagi pemimpin politik, cuba mempersendakan institusi raja kita.

Raja Melayu merupakan payung untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. 

Institusi raja melambangkan kedaulatan negara dan maruah bangsa. Raja bertanggungjawab bukan saja untuk menjaga hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta memelihara kedudukan agama Islam tetapi juga melindungi “kepentingan kaum-kaum lain” seperti termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan seperti berikut :

“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

Jelas di sini institusi raja Melayu adalah lambang kedaulatan dan perpaduan negara. 

Malangnya kebelakangan ini institusi raja diperlekeh, dipersenda dan dihina sehingga sampai ke tahap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan darjah kebesaran Sultan Selangor.

Kemudian kita dikejutkan oleh ahli parlimen pembangkang Pokok Sena mempersendakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang gering, dengan mempersoalkan tuanku sultan yang terus bertahkta dan memerintah negeri walaupun gering dengan Tun Dr Mahathir yang sudah berumur lanjut tetapi masih sihat, dalam ucapan politiknya mempertahankan pemilihan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri puak Pakatan.

Cara berpolitik adalah hak masing-masing individu tetapi janganlah sampai membabitkan kedaulatan dan institusi raja.

Penulis merasa sudah tiba masanya tindakan diambil untuk menyekat atau membendung kebiadapan pemimpin-pemimpin seumpama ini yang terus menstimulasikan emosi anti-establishment dan memprovokasi rakyat supaya berani mencabar institusi perajaan negara ini.  

Mereka berani berbuat demikian kerana sering terlepas dari sebarang tindakan dan hukuman.

Di negara Thailand bawah undang-undang lese-majeste sesiapa yang menghina, mengaibkan atau mengancam raja, permaisuri, tengku mahkota dan sebagainya boleh dipenjarakan selama tiga hingga lima belas tahun.

Memandangkan kebiadapan terhadap raja semakin berleluasa kebelakangan ini, perlukah kita turut memperkenalkan undang-undang lese-majeste di tanah air kita?

Daulat Tuanku!

 * Datuk Seri Ti Lian Ker adalah ketua Biro Keharmonian Agama MCA

 ** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail



Sumber Ambil tindakan siapa hina raja — Ti Lian Ker

Post a Comment

Previous Post Next Post