Ayat-Ayat Cinta 2 papar pelbagai konflik semasa. (Pic:Press Kit)
Penulis novel Ayat-Ayat Cinta 2, Habiburrahman El Shirazy mendedahkan untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan kesinambungan kepada novel terlaris itu, beliau terpaksa membuat solat istikharah bagi memastikan karyanya itu lebih hebat ataupun setara dengan novel yang pertama itu.
Kata Habiburrahman atau lebih mesra disapa Pak Habib itu, ini berlaku kerana pada awalnya beliau tidak berniat untuk membuat sambungan kepada novel yang turut dipindahkan ke layar perak itu.
“Masa mula-mula menulis novel Ayat-Ayat Cinta, saya memang tidak terfikir langsung untuk membuat sambungannya. Bagaimanapun selepas ramai yang membaca dan menonton filem itu, peminat mula bertanyakan apakah kesudahan novel itu? Apa yang berlaku kepada Fahri dan isterinya? Pertanyaan demi pertanyaan yang diterima itu membuatkan saya terpanggil untuk menghasilkan novel keduanya.
“Bagaimanapun untuk mencari bahan bukanlah sesuatu yang mudah. Saya anggap ia seperti memasak makanan dan perlu menghasilkan resipi yang lebih baik bagi memastikan makanan itu sentiasa sedap. Selain itu, saya juga membuat solat istikharah supaya diberikan idea yang lebih baik untuk menulis,”katanya kepada Rojak Daily Kaw! ketika Malam Gala Tayangan Filem Ayat-Ayat Cinta 2 yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama pelakon filem berkenaan, Fedi Nuril, Tatjana Saphira, Dewi Sandra, Chelsea Islan, Pandji Pragiwasono dan juga Bront Palarae, sutradara, Guntur Soehardjanto serta penerbit fiem berkenaan, Manoj Punjabi dari MD Pictures.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan mengapa sekuel filem ini mengambil masa yang lama iaitu sepuluh tahun untuk ditayangkan di pawagam.
Untuk filem yang kedua ini isu yang diketengahkan sangat berat iaitu persoalan global seperti Islamophobia, pertentangan antara Yahudi dan juga Muslim, selain mengekalkan inti pati poligami. Tidak dinafikan tema yang dipaparkan cukup berat dan sangat relevan dengan apa yang berlaku di dunia hari ini.
Apakah dengan paparan tema seperti itu seakan memberi gambaran yang penerbit filem berkenaan cuba memancing pasaran yang lebih luas sekali gus mempertaruhkannya di festival filem antarabangsa.
Menjawab pertanyaan itu, Manoj berkata bukan festival yang menjadi impian tetapi impak terhadap penonton yang diharapkan.
“Saya buat filem bukanlah kerana mahu mengejar kejayaan dalam mana-mana festival filem tetapi lebih mementingkan kepuasan penonton. Bila penonton puas dan karya kita dapat menyentuh hati mereka, itu sudah cukup membuat saya gembira,”katanya.
Ayat-Ayat Cinta 2 akan ditayangkan di 109 buah pawagam di seluruh negara mulai Khamis ini.
Sumber “Ayat-Ayat Cinta 2 Lahir Atas Permintaan Peminat” - Habiburrahman