KAJANG, 6 Jan — “Wanita juga boleh jadi perdana menteri,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengulas persoalan calon Pakatan Harapan bagi jawatan itu.
Bercakap di sidang media sempena konvensyen Wanita gabungan pembangkang, presiden PKR berkata mereka mempunyai ramai calon dan masih membincangkan nama yang bakal dipilih.
“Faktor kredibiliti juga dimajukan selain faktor [calon] wanita,” katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut sebagai calon perdana menteri, sementara Dr Wan Azizah sebagai timbalannya, jika PH merampas Putrajaya.
Namun PKR dilaporkan tidak senang dengan usul tersebut, malah meletakkan syarat agar ketua umum PH dan PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih.
Dr Mahathir hanya sebagai calon perdana menteri sementara dan pembebasan Anwar, kini di penjara Sungai Buloh, harus menjadi agenda pembangkang.
Di sidang media sama hari ini, ketua Wanita PKR dan PH Zuraida Kamaruddin juga tidak menyokong mantan perdana menteri itu menjadi tokoh nombor satu negara.
Beliau menyarankan Dr Mahathir diberikan peranan sebagai penasihat.
“Secara peribadi saya lebih suka melihat beliau sebagai menteri kanan, bukannya perdana menteri,” kata Zuraida, tanpa menghurai lebih lanjut.
Dalam ucapannya di konvensyen itu, Dr Wan Azizah berharap PH meletakkan 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya umum nanti.
Tambahnya, walau 50 peratus pengundi wanita tetapi mash ramai yang tidak memahami hak mereka dan tidak diendahkan.
Baca seterusnya di Malay Mail.
Sumber Azizah: Wanita juga boleh jadi perdana menteri