Banjir di Pahang mula pulih, tinggal lagi 5,800 mangsa

Penduduk Kampung Gudang Rasau di Kuantan, Abdul Rahim Mohd Hanif, melihat rumahnnya yang dimasuki air banjir, 3 Januari 2018. ― Foto Bernama Penduduk Kampung Gudang Rasau di Kuantan, Abdul Rahim Mohd Hanif, melihat rumahnnya yang dimasuki air banjir, 3 Januari 2018. ― Foto Bernama

KUANTAN, 6 Jan — Keadaan banjir di Pahang bertambah baik dan bilangan mangsa terus menurun iaitu 5,824 orang yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 6,575 orang pagi tadi.

Menurut portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan daerah yang terlibat juga berkurangan dengan Rompin, Jerantut dan Lipis kembali pulih selepas kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS telah dibenarkan pulang.

“Daerah Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,192 orang yang ditempatkan di 22 PPS,” menurut portal berkenaan.

Selain itu, Pekan mencatatkan penambahan kepada 1,392 orang di sembilan PPS yang dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya sebanyak 549 orang, Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang (414 orang).

Mangsa turut ditempatkan di SK Permatang Keledang (229), balai raya Kampung Menchupu (65), pusat pemindahan banjir Kampung Pulau Manis (29), SK Temai (81), balai raya Kampung Tanjung Pulai (17), SK Acheh (enam) dan dua orang di balai raya Kampung Tebat.

Dalam pada itu, di Bera terdapat 138 orang ditempatkan di lima PPS iaitu SK Kuala Triang (71), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengkarak (18), Masjid Kuala Bera (13) dan balai raya Kampung Seberang Guai (12).

Di Maran, 97 mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS iaitu SM Tengku Ampuan Afzan (53), balai raya Kampung Baru Pertanian (31) dan SK Pesagi (13).

Hanya satu pusat pemindahan yang masih beroperasi di Temerloh iaitu surau Kampung Lompat yang menempatkan lima orang sekeluarga. — Bernama



Sumber Banjir di Pahang mula pulih, tinggal lagi 5,800 mangsa

Post a Comment

Previous Post Next Post