Bidang ekonomi baharu sedia banyak peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara yang mampan akan memberikan impak positif terhadap peluang pekerjaan, termasuk di dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan ekonomi digital, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sebanyak 2.26 juta pekerjaan sudah diwujudkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan kaji selidik yang dibuat oleh SME Corp pada suku ketiga tahun lalu menunjukkan bahawa 40 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjangkakan perniagaan akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya perubahan dalam struktur teknologi dan industri yang menyebabkan pemindahan pekerja adalah ciri-ciri sebuah ekonomi yang dipacu oleh pengetahuan, malah ia berlaku semasa ekonomi yang baik.

"Ini juga tepat bagi Malaysia ketika kita beralih daripada ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi berintensifkan pengetahuan. Justeru, adalah tidak benar bagi sesetengah pihak yang menuduh bahawa 50,000 pekerja akan diberhentikan disebabkan oleh kenaikan kos menjalankan perniagaan.

"Walaupun akan berlaku pemberhentian, pada pandangan kami kebanyakan pekerja yang diberhentikan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan yang sedang berkembang, malah jumlah pemberhentian pada tahun ini tidak setinggi yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan.

Mustapa berkata, kerajaan sudah bertindak balas kepada perubahan dalam keperluan sumber manusia industri dengan mengambil langkah yang mempersiapkan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi perubahan jenis pekerjaan.

Katanya, ia termasuk strategi untuk meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula tenaga kerja, khususnya dengan latar belakang trend mega seperti Industri 4.0 dan automasi.

"Walaupun kami mengakui ada terdapat pemberhentian pekerja, kita perlu juga memberitahu bahawa kebanyakan pekerja yang diberhentikan diambil semula bekerja oleh syarikat baharu dan sedia ada ketika mereka berkembang bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

"Sebagai contoh, peratusan besar pekerja yang diberhentikan daripada syarikat seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang diambil bekerja oleh firma lain yang mengembangkan operasi seperti Keysight, Inari, HP, Osram and Infineon," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun antara 2014 hingga 2016, beberapa projek pembuatan baharu yang dilaksanakan mewujudkan kira-kira 153,000 pekerjaan.

Tambahan 32,700 pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diwujudkan daripada pelaburan yang diterima antara Januari hingga September 2017.

Beberapa pelaburan baharu dan pengembangan perniagaan dilaksanakan oleh pelbagai syarikat tahun lalu seperti Broadcom dan Osram di Pulau Pinang; Konica Minolta di Melaka; Infineon di Kedah; Roland dan IKEA di Selangor, selain BMW di Johor.

Syarikat minyak dan gas juga mula mengambil pekerja sekali lagi, khususnya dalam perniagaan huluan dan luar pesisir ketika mereka meninjau untuk memanfaatkan harga minyak yang tinggi kebelakangan ini.



Sumber Bidang ekonomi baharu sedia banyak peluang pekerjaan

Post a Comment

Previous Post Next Post