KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS) menjual 100 peratus kepentingannya dalam APIIT Education Group (APIIT Group) bernilai RM725 juta.
Penjualan semua kepentingan itu merangkumi Asia Pacific Schools (APS), Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) dan Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT).
Pengerusi EKUINAS, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, berkata pemilik baharu APIIT Group itu adalah syarikat usaha sama di antara kumpulan pengurusan utama sedia ada dan KV Asia Capital.
Katanya, kumpulan pengurusan sedia ada mempunyai jumlah pengalaman melebihi 100 tahun di dalam industri, yang mampu memastikan hasrat untuk menyediakan pendidikan berkualiti dapat diteruskan.
"Sepanjang tempoh pelaburan dibuat EKUINAS di dalam APIIT ini, kami berjaya meningkatkan jumlah pelajar dari 7,700 orang pada 2010 kepada lebih 10,000 pada 2016.
"Pada tahun lalu, APU melancarkan kampus terkininya di Technology Park Malaysia yang menyediakan teknologi baharu bagi meningkatkan pengalaman pelajar sebagai sebahagian daripada penjanaan nilai buat kumpulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata pihaknya percaya EKUINAS sudah berjaya menemui pemilik tepat untuk APIIT Group bagi terus memacu institusi itu mencapai kejayaan.
Katanya, dengan keupayaan dimiliki pasukan dan pengarah KV Asia Capital yang mempunyai reputasi serta berpengalaman dalam mengurus, menerajui dan membangunkan perniagaan di seluruh Asia, ia akan membantu memperkenalkan kemahiran baharu kepada APIIT Group.
"Ia juga melengkapi kepakaran dimiliki kumpulan pengurusan sedia ada, memastikan peralihan yang lancar dan kesinambungan perniagaan buat APIIT Group dengan tidak mengganggu gugat proses pembelajaran pelajar," katanya.
Mengulas lanjut, Syed Yasir Arafat berkata, pihaknya melabur di dalam APIIT Group menerusi dua dana.
Dengan penjualan kepentingan itu katanya, ia akan membolehkan EKUINAS mendapatkan semula kos pelaburan dan menjana kadar pulangan dalaman (IRR) positif sebanyak 22.3 peratus dan menggandakan wang sebanyak 1.6 kali ganda daripada modal yang dilaburkan termasuk dividen yang diterima.
Sumber EKUINAS jual semua kepentingan dalam APIIT Group