“Cakap banyak kau mati!”

Huan Cheng Guan

Cakap banyak kau mati! itu mesej ugutan yang diterima Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang tidak dikenali petang semalam.

Cheng Guan berkata, ugutan itu dipercayai dibuat pihak tertentu selepas beliau banyak membangkitkan isu penyalahgunaan kuasa yang berlaku di negeri ini termasuk skandal pembinaan terowong dasar laut sehingga beberapa tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Bimbang keselamatan diri dan keluarganya terancam, Cheng Guan melaporkan mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini pagi tadi.

“Ini kali pertama saya menerima mesej berbaur ugutan bunuh walaupun telah sekian lama membangkitkan pelbagai isu yang berlaku di Pulau Pinang.

“Saya tidak takut dengan ugutan ini kerana apa yang saya bangkitkan selama ini adalah mengenai kepentingan rakyat di negeri ini dan sebagai anak jati Pulau Pinang dan ahli politik saya berhak untuk bersuara,” katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Seberang Perai Tengah di sini tadi.

Sebelum ini, Cheng Guan pernah membangkitkan isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan di Pulau Pinang sehingga pasukan itu diharamkan di negeri ini.

Selain itu, beliau juga lantang membangkitkan isu pembelian banglo Ketua Menteri sehingga kes berkenaan didakwa di mahkamah dan yang terbaru mengenai skandal pembinaan terowong dasar laut.

Cheng Guan berkata, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan ugutan berkenaan dan berharap polis akan dapat melakukan siasatan.

Katanya, beliau akan terus membangkitkan isu salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di negeri ini dan berharap semua kes berkenaan diambil tindakan bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada rasuah.

 

Sumber: Sinar Harian



Sumber “Cakap banyak kau mati!”

Post a Comment

Previous Post Next Post