Cuepacs minta skim pencen kekal, gaji naik

Cuepacs berharap kerajaan tidak memansuhkan Skim Pencen kerana gaji sekarang tidak cukup untuk tabungan masa depan. — Foto ReutersCuepacs berharap kerajaan tidak memansuhkan Skim Pencen kerana gaji sekarang tidak cukup untuk tabungan masa depan. — Foto ReutersKOTA BHARU, 18 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan tidak memansuhkan Skim Pencen kerana beranggapan gaji yang dibayar sekarang tidak mencukupi untuk menjadi tabungan masa hadapan mereka. 

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata Cuepacs amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Tun Razak kerana menambah pelbagai insentif kepada pesara polis, baru-baru ini.

“Pada  masa sama kerajaan juga diharap memberi pertimbangan yang sama kepada pesara kerajaan yang lain kerana mereka juga perlu dibantu,” katanya kepada  pemberita selepas Taklimat  Transformasi Perkhidmatan Awam: Isu dan Cabaran Penjawat Awam di Kompleks Kota  Darul Naim di sini hari ini. 

Azih berkata buat masa sekarang terdapat kira-kira 750,000 pesara kerajaan di negara ini dan masih menerima pencen. 

Pada masa yang sama, berdasarkan hasil kajian yang dilakukan Cuepacs mendapati gaji penjawat  awam tidak mampu menangani kos sara hidup yang kini semakin meningkat.

Katanya apatah lagi sekiranya diambil isu kos untuk pembelian rumah yang  tidak boleh dianggap sebagai perkara kesampingan kerana setiap orang yang ingin memulakan kehidupan berkeluarga, mesti memiliki rumah.

“Hari ini perkhidmatan penjawat awam kita diiktiraf di seluruh dunia malah perkhidmatan penjawat awam kepada rakyat, negara dan kerajaan memenuhi harapan yang diberikan. 

“Berdasarkan itu, Cuepacs meminta perhatian kerajaan supaya memberi pertimbangan atas cadangan dan tuntutan oleh Cuepacs berkaitan pemberian kerajaan ke atas satu kenaikan gaji untuk penjawat awam,” kata Azih.

Beliau berkata Cuepacs berharap pemberian satu kenaikan gaji itu didahulukan kerana ini sahaja cara membantu kedudukan pergajian mereka dan membantu mereka untuk merancakkan industri hartanah negara.

“Banyak projek perumahan dilaksanakan kerajaan seperti Rumah Mampu Milik, Rumah Prima, MyHome dan sebagainya tetapi dengan gaji mereka sekarang masih tidak mampu membelinya,” katanya. 

Azih berkata adalah wajar dan bertepatan agar kerajaan memberi pertimbangan satu insentif kenaikan gaji dan ini adalah harapan seluruh kakitangan awam di seluruh negara pada awal tahun ini. — Bernama



Sumber Cuepacs minta skim pencen kekal, gaji naik

Post a Comment

Previous Post Next Post