Polis menafikan dakwaan seorang pelajar tingkatan satu kononnya dia diculik sekumpulan lelaki yang menaiki van putih. Sebaliknya dakwaan itu adalah rekaan remaja terbabit kerana mengalami tekanan perasaan, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pelajar lelaki berusia 13 itu bersama bapanya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang malam tadi untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat sebelum ini.
Beliau berkata, pelajar itu juga mengaku tindakannya menipu itu dilakukan berikutan dia mengalami tekanan akibat dipaksa menumpukan pelajaran oleh keluarganya, selain tidak dibenarkan bermain.
"Walaupun tindakan pelajar itu mencetuskan rasa bimbang dikalangan penduduk sekitar Ampang namun polis tidak akan mengambil tindakan susulan kerana memikirkan tekanan dihadapi remaja itu," katanya.
Terdahulu, remaja berkenaan yang cedera di lengan kanan mendakwa dia diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih pada jam 12 tengah hari Jumaat lalu, ketika sedang menunggu bas di perhentian bas Taman Pandan Indah.
'Mangsa' mendakwa dia berjaya melepaskan diri selepas menggigit dan menendang dua orang suspek dan terus melarikan diri ke sekolah sebelum membuat laporan polis.
BERITA BERKAITAN:
Sumber 'Dah agak dah...' - Stress belajar, remaja reka cerita nyaris diculik 'van putih'
Tags:
thereporter