KUALA LUMPUR, 15 Jan — Siapa sangka seorang pemuda dengan wang saku hanya RM10 mencuba nasib menyertai pertandingan Malaysia Cyber Games (MCG2018) akhirnya dapat membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM15,000.
Kathireswaran Sugumaran, 24, dari Ampang, di sini, mengalahkan Muhammad Luqman Haziq, 21, dengan skor 2-1 pada perlawanan Fifa 18 yang berlangsung sejak minggu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Saya bawa RM10 cukup untuk pergi dan balik rumah. Saya rasa bertuah dapat bawa balik wang lebih banyak daripada jumlah simpanan yang saya ada,” katanya.
“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada ibu bapa dan semua ini untuk mereka kerana tanpa mereka saya tidak mampu melakukannya.”
Bermain Fifa sejak edisi 2013 (Fifa 14), Kathireswaran berkata selepas ibu bapanya memahami acara e-sukan itu mampu menjana pendapatan, barulah mereka membenarkannya mengejar impiannya.
“Pada mulanya ayah tidak begitu menyokong kerana e-sukan masih baru di Malaysia dan saya banyak habiskan masa dengan permainan siber.
“Selepas beberapa tahun dan menang beberapa pertandingan, persepsinya berubah. Ibu pula sering bersikap neutral tetapi kini dia juga banyak menyokong,” katanya.
Sumber Datang MCG2018 bawa RM10, pulang dengan poket tebal RM15,000