Dari dunia perbankan ke arena maya, Shige pertaruh masa hadapan

INSPIRASI dan motivasi. Dua perkara penting yang ‘membisik’ di hati, menjadikan impian satu realiti.

Tatkala rasa putus asa semakin mendominasi, inspirasi dan motivasi yang akan menyelamatkan diri untuk kembali mengecapi apa yang dingini.

Shige tahu, tanggungjawab yang digalasnya kini sebagai pencari nafkah bagi keluarga, perlu dijalankan sebaiknya. Jika tidak, binasa mendatang buat dia dan keluarga.

“Matlamat saya untuk menang kejohanan adalah kerana duit,” ungkap Shige, seperti tiada rahsia. “Bagi menampung dan membayar hutang keluarga saya,” sambungnya.

Shige atau nama sebenarnya Boon Shin, 27 tahun, sangat terkenal dalam dunia e-sukan tempatan kerana kehebatan jemarinya mengatur taktikal di konsol dalam permainan video FIFA.

Persembahan mantap yang mengagumkan sentiasa. Gelaran juara satu per satu dirangkulnya sejak dia berusia 10 tahun.

Namun Shige tidak pernah sekali angkuh kerana baginya kemenangan yang diraih adalah lebih daripada sekadar gelaran juara kerana keutamaannya adalah kesejahteraan keluarganya sendiri.

Tinggalkan dunia perbankan

Graduan ijazah kewangan universiti swasta ini membuat satu keputusan berisiko pada tahun lalu.

Tiada siapa yang menjangkakannya.

“Ramai cakap saya bodoh dengan keputusan yang saya buat ini.

“Secara umumnya, pemuda 27 tahun seperti saya sepatutnya sudah ada kerja yang stabil tapi saya tinggalkan kerjaya tersebut untuk menjadi pemain profesional e-sukan,” jelas Shige mengimbas kembali saat dia membuat keputusan untuk menyertai pasukan Fire Dragoon.

Fire Dragoon merupakan antara syarikat e-sukan terkenal di Malaysia yang melatih pemain untuk menjadi pemain profesional dalam arena ini. Mereka juga menggaji pemain dan jurulatih e-sukan sepenuh masa. Shige antaranya.


Meskipun begitu, industri e-sukan di Malaysia masih ‘hijau’ dan meninggalkan dunia perbankan merupakan satu risiko yang besar.

Jadi, Shige mempertaruhkan satu kepercayaan dengan keputusan yang diambilnya itu.

“Saya percaya kepada potensi industri e-sukan Malaysia. Ia akan menjadi satu industri besar pada lima tahun akan datang.

“Ia akan berkembang dan boleh pergi lebih jauh. Saya tidak menyesal memilih jalan ini,” kata Shige yang sebelum ini pernah bekerja sebagai juruaudit dan jurubank.

Kenyataan dan harapan

Tidak ramai memandang serius dengan potensi e-sukan tempatan. Masih ada yang beranggapan permainan video adalah sekadar mengisi masa lapang, bukan sebagai kerjaya.

Apa yang Shige boleh lakukan ketika ini adalah dengan terus menggilap skil permainan videonya lapan jam sehari.

Dia berharap persepsi orang ramai itu akan lenyap, saat dia berjuang dan membawa Jalur Gemilang mendominasi ranking dunia.

Dia perlu terus percaya e-sukan ada tempatnya dan Malaysia ada potensinya.

Shige tidak silap.

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan satu unit yang memberi fokus kepada pembangunan e-sukan tempatan.

Khairy juga berkata Malaysia tidak boleh ketinggalan memandangkan negara ini sudah mempunyai pemain profesional yang bertarung di peringkat antarabangsa, seperti Shige.

“Saya memang percaya industri ini boleh berkembang tapi ia masih satu perkara yang tidak pasti kerana kerajaan tidak pernah cakap apa-apa sebelum ini (berkaitan dengan e-sukan).

“Jadi, saya sangat gembira. Segala usaha keras sebelum ini akhirnya, ada orang pandang,” jelas Shige.

Walaupun berita itu belum cukup untuk menghilangkan beban yang ditanggungnya, sekurang-kurangnya Shige mampu menarik nafas lega seketika.

Dia tahu pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak sia-sia.

Dia percaya sinar masa hadapannya kini semakin jelas.



Sumber Dari dunia perbankan ke arena maya, Shige pertaruh masa hadapan

Post a Comment

Previous Post Next Post