Elak makan gaji, siswazah jual nasi lemak, bawa Uber patut dipuji

Siswazah yang menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber tidak harus diperkecilkan. — Foto oleh Choo Choy MaySiswazah yang menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber tidak harus diperkecilkan. — Foto oleh Choo Choy MayKUBANG PASU, 21 Jan —  Siswazah universiti yang bekerja sendiri seperti menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber perlu diberikan pujian kerana mereka mampu bekerja sendiri tanpa perasaan  malu untuk melakukan pekerjaan sedemikian biarpun berkelulusan tinggi.

Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata sepatutnya tiada pihak memperkecilkan pekerjaan sedemikian yang dilakukan golongan itu sebaliknya perlu memberikan kata semangat dan motivasi kepada mereka kerana  tidak mengharapkan pendapatan makan gaji semata-mata.

“Patut beri semangat kepada anak-anak muda apa saja pekerjaaan yang mereka lakukan, kerana pada masa ini ramai telah membuat dua pekerjaan untuk menambah pendapatan...”

“Janganlah memilih pekerjaan dan malu untuk bekerja, selagi ia mendatangkan pendapatan yang lumayan dan halal buatlah kerana graduan yang bekerja sendiri ini  lebih baik daripada yang makan gaji dan ia​ ​​​​​​ lebih menguntungkan,” katanya ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Rabu lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran memasuki Maktab Rendah Sains Mara kepada 56 pelajar dari sekitar Parlimen Kubang Pasu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior di Jitra di sini hari ini.

Rabu lepas menerusi ‘policy talk’ kedua yang disiarkan secara langsung di Facebook, Dr Mahathir dipetik mendakwa ada siswazah kini bekerja sebagai pemandu Uber atau menjual nasi  lemak dan keadaan itu tidak boleh dibanggakan sebaliknya  mereka ini yang terlatih sepatutnya bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan yang mereka  peroleh.

Mohd Johari juga berkata kerajaan melalui pelbagai agensi dan jabatan turut menyediakan  banyak  peluang  pekerjaan serta bantuan perniagaan kepada golongan  graduan dan belia untuk meningkatkan  taraf hidup mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohd Johari yang juga timbalan  menteri pertahanan mengharapkan pasukan keselamatan terus proaktif memperketatkan kawalan dan keselamatan di sempadan negara supaya tidak mudah dibolosi sebarang anasir luar yang boleh menggugat keselamatan negara ini.

“Selain itu, saya juga harap keselamatan di sempadan diperkemaskan sekarang ni kerana selepas ini kita  buka 24 jam nanti maknanya keselamatan di sempadan amat penting dan harap pihak berkuasa lebih berhati-hati  kerana dikhuatiri anasir militan seperti Daesh yang mana jika tidak  dijaga boleh memasuki negara  kita  bila-bila masa,” katanya. — Bernama



Sumber Elak makan gaji, siswazah jual nasi lemak, bawa Uber patut dipuji

Post a Comment

Previous Post Next Post