BUKIT MERTAJAM, 21 Jan — Seorang lelaki yang menolak kepala seorang wanita tidak bertudung, dicari polis.
Dalam rakaman yang tular di media sosial, lelaki itu, 30 tahun, dilihat memukul kepala pekerja kilang, seorang warga Indonesia, kerana tidak bertudung, lapor Sinar Harian.
“Pada mulanya mangsa tidak mengendahkan kata-kata lelaki tersebut selepas itu lelaki itu terus menolak di kepala pengadu,” kata ketua polis daerah Seberang Prai Tengah.
ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata mangsa, 24 tahun, bersama kakaknya yang ada ketika kejadian di perhentian bas di Taman Perwira di sini, kemudian membuat laporan polis.
Beliau berkata polis sudah mengunjungi rumah lelaki itu tetapi dia tiada di rumah kerana merayau-rayau.
“Bapa saudara suspek yang ditemui di rumah berkenaan memaklumkan anak saudaranya itu kurang siuman sejak 15 tahun lalu selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya,” katanya.
Sumber Tolak kepala pekerja kilang tak bertudung, lelaki dicari polis