KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Elvina Mohamad, memohon maaf seandainya gambar percutian beliau sempena menyambut tahun baharu, baru-baru ini, menyentuh sensitiviti mana-mana pihak selepas ia disebarkan individu tidak bertanggungjawab.
Elvina, 23, berkata, beliau mengambil pengajaran daripada kontroversi yang menimpanya dan berharap perkara sama tidak berulang kembali.
"Saya mengambil iktibar dengan penyebaran gambar bercuti bersama beberapa rakan di Langkawi, Kedah, sempena menyambut tahun baharu yang tersebar semalam. Ia sebenarnya adalah koleksi peribadi dan tidak sangka pula boleh terlepas ke tangan orang lain.
"Maafkan saya sekiranya ia melanggar sensitiviti mana-mana pihak. Tujuan percutian itu adalah sekadar bercuti menyambut tahun baharu bersama rakan rapat dan tidak lebih daripada itu.
"Saya akan lebih berhati-hati pada masa depan supaya perkara sama tidak berulang lagi. Saya tidak mahu dikenali kerana gosip sebegini, sebaliknya ingin fokus kepada perjalanan kerjaya dalam bidang lakonan," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, beberapa keping gambar percutiannya bersama beberapa teman untuk menyambut tahun baharu 2018 di pulau peranginan terbabit tersebar secara meluas di beberapa blog gosip tempatan.
Dalam gambar terbabit, Elvina dan temannya mengenakan pakaian yang dianggap mencolok mata.
Dalam perkembangan terkini, Elvina kini sibuk menjalani penggambaran drama 30 episod berjudul Isteri Untuk Diiktiraf untuk saluran TV1.
Drama adaptasi novel itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Redza Rosli, Shiela Rosli, Janna Nick, Dayana Roza, Arash Mohd dan ramai lagi.
Sumber Gambar peribadi tersebar, Elvina mohon maaf