Caruman SIP diunjur RM479.5j tahun ini

KUALA LUMPUR: PERKESO mengunjurkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan meraih caruman sebanyak RM479.5 juta tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, berkata jumlah kutipan itu akan diperoleh daripada caruman 6.6 juta pekerja dan 430,000 majikan kepada PERKESO dalam sistem itu.

Katanya, ia berdasarkan caruman bulanan 0.2 peratus daripada gaji pekerja kepada PERKESO masing-masing oleh pekerja dan majikan berdasarkan kadar gaji RM1,000 sehingga RM4,000.

"Hasil kutipan pertama dijangka diterima mulai Februari ini dan tempoh matang SIP (dana boleh digunakan untuk bayaran) adalah mulai tahun 2019," katanya pada sesi temu bual bersama media di Wisma PERKESO di Jalan Tun Razak, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai SIP, Datuk Mohd Sahar Darusman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka merasmikan pusat operasi SIP yang memulakan operasi pada 1 Januari lalu di Wisma PERKESO pada minggu ketiga bulan ini.

Aseh berkata, susulan pelaksanaan SIP, PERKESO sedang menaik taraf sistem operasi dan internet SIP di sini yang menjadi pusat operasi bagi seluruh negara membabitkan kos sebanyak RM100 juta.

Katanya, pihaknya juga akan menambah bilangan kakitangan SIP hingga 621 orang bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

"Ini bukan kerja 'leceh' tetapi untuk memberi faedah kepada pekerja demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

"Jika pekerja ditimpa musibah seperti syarikat ditutup dan hilang pekerjaan, skim ini akan memberi pampasan serta bantuan mencari padanan kerja kepada pekerja," katanya.

Bagaimanapun, Aseh berkata, sementara menunggu dana SIP matang pada Januari 2019, kerajaan akan memberi bantuan interim berjumlah RM600 sebulan selama enam bulan di samping membantu pekerja mencari pekerjaan baharu.



Sumber Caruman SIP diunjur RM479.5j tahun ini

Post a Comment

Previous Post Next Post