Gunung berapi di Papua New Guinea berasap

SYDNEY: Gunung berapi di pulau terpencil di Papua New Guinea mula mengeluarkan asap ke udara hari ini sehingga memaksa 500 penduduk dipindahkan, lapor media dan badan kebajikan.

Gunung berapi pulau Kadovar itu setinggi 356 meter dan terletak di pesisir utara Papua New Guinea. Sebelum ini, ia dianggap tidak aktif, namun mula meletus pada 5 Januari lalu.

"Ia hanya mengeluarkan asap secara berterusan ketika ini," kata peramal di Pusat Amaran Asap Gunung Berapi Darwin, Cheyne O'Brien kepada Reuters.

Kepulan debu didapati setinggi 2,133 meter di udara, ia membentuk kepulan awan yang kini bergerak ke arah barat dan barat laut, kata beliau lagi.

Katanya, kepulan asap itu masih tidak menimbulkan bahaya kepada penerbangan, namun perubahan arah tiupan angin mungkin menjejaskan operasi di lapangan terbang Wewak di Papua New Guinea.

Menurut badan kebajikan di Amerika Syarikat, Samaritan Aviation yang mengendalikan pesawat laut ke kawasan terpencil di negara itu, semua penduduk di pulau itu sudah dipindahkan dan tiada mangsa maut.

"Kami masih tiada perincian ke mana semua keluarga penduduk pergi dan berharap mengetahuinya tidak lama lagi," kata badan kebajikan itu.

Usaha menghubungi pihak berkuasa di Papua New Guinea masih tidak berjaya, setakat ini. - Reuters



Sumber Gunung berapi di Papua New Guinea berasap

Post a Comment

Previous Post Next Post