Halang pekerja diberkas, imigresen tahan majikan wanita

69 Pati dan seorang majikan ditahan dalam Operasi Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Plaza Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam 8 Januari 2018. — Foto Bernama69 Pati dan seorang majikan ditahan dalam Operasi Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Plaza Sri Muda Seksyen 25 Shah Alam 8 Januari 2018. — Foto BernamaSHAH ALAM, 8 Jan — Jabatan Imigresen Selangor menahan seorang majikan wanita dalam operasi di sekitar Plaza Sri Muda di Seksyen 25 di sini hari ini, yang menyaksikan 69 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) turut diberkas.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Omran Omar berkata wanita berusia 50 tahun itu ditahan kerana menghalang anggota Imigresen daripada memberkas seorang pekerjanya yang didapati menyalah guna pas pekerja dalam operasi selama dua jam, sejak pukul 2 petang tadi.

Wanita itu, yang turut diberikan Borang 29 (Saman Saksi), akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Semakan ke atas pekerja wanita itu mendapati dia mempunyai pas pekerja sebagai pembantu rumah tetapi bekerja sebagai pembantu di kedai makan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu.

Mengenai warga asing yang ditahan, mereka berumur antara 20 tahun hingga 55 tahun dan rata-ratanya  bekerja sebagai pembantu kedai dan peniaga di plaza berkenaan serta di pasar basah berhampiran.

Mereka terdiri daripada 36 warga Bangladesh, 26 (Indonesia), tiga (Nepal), tiga (Myanmar) dan seorang dari  Filipina. Seramai 53 orang adalah lelaki.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki permit atau pas sah untuk masuk dan berada di negara ini dan Peraturan 39(b) Akta Imigresen kerana salah guna pas, “ katanya.

Kesemua Pati terbabit dibawa ke pejabat Imigresen Selangor di sini untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. — Bernama



Sumber Halang pekerja diberkas, imigresen tahan majikan wanita

Post a Comment

Previous Post Next Post