Negara bergolak jika Anwar gagal jadi PM ― Fikri Allaudin

8 DISEMBER ― Tekaan anak muda bahawa negara ini sebenarnya sedang tenat dengan rentetan drama politik tua benar-benar berlaku.

Sungguh tenat. Hari ini membuktikan bahawa perjuangan pembangkang hanya sebuah perjuangan yang sia-sia dan sampah semata-mata.

Adakah parti-parti politik masih tidak sedar? Melalui tinjauan pendapat Belia Nasional, hampir 66 per cent tidak merasakan bahawa ahli politik secara amnya boleh dipercayai dan peratusan yang sama, percaya ahli politik sebenarnya “masalah utama di Malaysia”.

Mana tidaknya, walaupun kebanyakan generasi muda masih tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan sedia ada, namun persoalan utamanya, adakah pengundi muda mempercayai kepada pembangkang untuk mentadbir Negara?

Pakatan Harapan akhirnya memuktamadkan calon perdana menteri mereka jika dapat mentadbir Negara.

Ia bakal diketuai oleh gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Jika pilihanraya diadakan di antara Mac-April 2018 serta Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan pada Jun 2018, keberangkalian Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sekitar enam bulan sahaja dan seterusnya bermulalah episod proses mengangkat Anwar sebagai perdana menteri yang baharu.

Persoalannya, dengan PPBM mendapat kerusi pilihan raya terbanyak bagi Parlimen dan Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri, adakah mudah untuk beliau melepaskan jawatan dalam tempoh yang singkat?

Sejujurnya, situasi ini benar-benar bakal menyaksikan Malaysia bakal sekali lagi terjerumus dalam kancah perbalahan politik yang lebih besar.

Bakal menjadi mangsa kepada kebodohan ini sudah tentu generasi muda. Mudah dibakar dan inilah yang bakal menjadi ‘korban’ bagi setiap catur dan sifir politik orang tua.

Walaupun Melayu sering dilabel sebagai bangsa mudah lupa, tetapi jangan sesekali kita lupa pasal berebut menjadi perdana menteri negara porak peranda.

Ledakan reformasi 1998 meninggalkan kesan yang tidak sedikit buat ramai anak muda pada ketika itu.

Mereka seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletup.

Mereka inilah antara yang telah dipasak dengan agenda reformasi Anwar yang menentang Dr Mahathir pada ketika itu.

Akhirnya pada 20 September 1998 di Masjid Negara Kuala Lumpur, hampir 100,000 rakyat tanpa mengenal latar kaum dan kelas berhimpun untuk menyatakan solidariti terhadap Anwar.

Lihat apa yang berlaku selepas 20 tahun rakyat berbalah sesama sendiri? Wajah-wajah ini dengan selamba betkata perbalahan itu hanya sekadar luka kecil.

Sekarang pejuang reformasi yang menentang Dr Mahathir yang mahu menjatuhkan, mensabitkan segala kesalahan lampau dan kekayaan luar biasa anak beranak kroni, tiba-tiba tewas.

Hari ini pelaung tereebut sujud dan terpaksa mengangkat semula Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Sedih. Macam sudah tiada calon lain yang boleh diangkat menjadi perdana menteri.

Ia menggambarkan Pakatan Harapan tidak bersungguh mahu menjadikan Malaysia ini lebih baik dan menunjukkan rakyat mudah diperbodohkan sekali lagi.

Jika proses peralihan perdana menteri tidak berjaya seperti yang dipersetujui, adakah negara bakal bergolak sekali lagi?

* Fikri Allaudin dari Persatuan Pemikir Muda Johor

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail



Sumber Negara bergolak jika Anwar gagal jadi PM ― Fikri Allaudin

Post a Comment

Previous Post Next Post