Bergegar bumi Iran dengan rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran yang telah mengakibatkan kematian lebih 20 nyawa. Ayatollah Ali Khamenei, pemimpin tertinggi Iran digesa supaya berundur dan meletak jawatan. Mengapa parah sekali situasi semasa di Iran? Kenapa terdapat warga Iran yang sanggup mengorbankan diri agar Ayatollah Khamenei berundur? Adakah wujud campur tangan asing yang mengakibatkan huru-hara berlaku di Iran dalam keadaan dunia memberi perhatian kepada isu Baitulmaqdis?
2. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tanpa segan-silu mengisytiharkan sokongan kepada para penunjuk perasaan Iran di samping menegaskan bahawa AS akan ‘menghantar’ sokongan ‘pada masa yang sesuai’. Maka tidak hairanlah apabila Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional Iran, Ali Shamkhani menamakan tiga negara bertanggungjawab memarakkan huru-hara di Iran kini iaitu AS, Britain, dan Arab Saudi. Lebih serius, ketua Jabatan Kehakiman daerah Borujed, Hamidreza Abolhassani telah mengisytiharkan penangkapan seorang warga Eropah yang dilatih agensi perisikan Eropah di mana beliau didakwa memimpin protes di Borujed. Beliau tidak menamakan negara Eropah manakah yang terlibat.
3. Tunjuk perasaan di Iran kali ini adalah yang terbesar sejak 2009 sewaktu keputusan pilihan raya Presiden pada waktu itu yang menyaksikan kemenangan kontroversi Mahmoud Ahmadinejad. Hakikatnya, peristiwa kali ini meletus secara mendadak dan besar-besaran susulan daripada rasa tidak puas hati warga Iran terutama sekali golongan muda terhadap belanjawan yang baru diumumkan Presiden Hasan Rouhani, disamping gabungan beberapa faktor tambahan yang lain.
4. Ekonomi Iran sememangnya berada dalam keadaan yang mencabar. Perlu diketahui, Iran telah sejak sekian lama dikenakan sekatan perdagangan dan ekonomi antarabangsa oleh PBB, AS, dan Kesatuan Eropah susulan langkah pengayaan uranium untuk tenaga nuklear yang diatur oleh mantan Presiden Ahmadinejad. Hanya pada 2015 Presiden Rouhani berjaya merundingkan kelonggaran sekatan ke atas Iran dengan enam kuasa besar iaitu AS, Rusia, China, United Kingdom (UK), Perancis, dan Jerman.
5. Akibat sekatan antarabangsa terbabit, Iran telah kerugian sebesar USD160 bilion dari segi hasil minyak mereka dalam tempoh lima tahun (2012-2016) manakala aset Tehran yang dianggarkan bernilai USD 100 bilion di luar negara telah dibekukan. Maka kejayaan rundingan Presiden Rouhani pada 2015 telah menjanjikan harapan yang cerah buat warga Iran sekali gus mengukuhkan sokongan politik kepada beliau.
6. Namun demikian, kadar pengangguran warga muda di Iran hari ini mencecah hampir 30 peratus. Sekitar 20 juta daripada 80 juta warga Iran kini dianggarkan hidup di bawah garis kemiskinan. Kadar inflasi yang tinggi menyaksikan peningkatan kos sara hidup yang semakin mendesak di seluruh Republik tersebut. Sebaliknya, kelas elit seperti ahli keluarga pemerintah serta mereka yang rapat dengan Pengawal Revolusi Iran telah dilihat menjalani kehidupan mewah antaranya menerusi pengimportan berpuluh-puluh ribu unit kenderaan mewah saban tahun. Situasi sebegini telah mengakibatkan terdapat kelas masyarakat yang memendam rasa tidak puas hati atas kekurangan keadilan sosial.
7. Struktur politik Iran secara makro memusatkan kuasa ke tangan pemimpin tertinggi iaitu Ayatollah. Meskipun Presiden mengetuai kabinet yang dilantik dalam kalangan ahli parlimen yang diundi rakyat, namun Ayatollah menguasai lima institusi politik elit lain iaitu Majlis Pengawal Revolusi, Majlis Tertinggi Keselamatan Nasional, Angkatan Tentera, Ketua Kehakiman, Majlis Perundingan, dan juga Ketua Radio dan Televisyen.
8. Majlis Pengawal Revolusi yang dipilih Ayatollah bukan sahaja boleh mentafsir dan memveto (membatalkan) undang-undang yang diluluskan parlimen, malah berfungsi menapis calon pilihan raya Parlimen dan juga calon pilihan raya Presiden. Majlis Perundingan yang berfungsi sebagai perantara sebarang konflik antara Parlimen dengan Majlis Pengawal Revolusi juga dilantik secara langsung oleh Ayatollah.
9. Maka apabila Presiden Rouhani mengumumkan belanjawan negara yang terkini dengan meneruskan pemberian peruntukan berbilion Dollar kepada universiti-universiti serta institusi-institusi agama di Iran tanpa sebarang usaha agresif bagi mengurangkan pengangguran dan inflasi, tidak hairanlah apabila para penunjuk perasaan turut menyasarkan Ayatollah Khamenei.
10. Keadaan politik dalaman dan luaran ternyata tidak memihak Iran, khususnya Presiden Rouhani. Dari segi ekonomi politik dalaman beliau perlu memenuhi tuntutan konservatif serta Majlis Pengawal Revolusi yang cukup berkuasa – khususnya dalam soal pengagihan sumber. Pada sisi yang lain beliau berhadapan dengan tekanan dan tuntuan reformasi keadilan sosial golongan muda – yakni golongan yang paling ramai ditahan dalam siri rusuhan dan tunjuk perasaan di Iran pada waktu ini. Ledakan aplikasi media sosial di Iran memudahkan lagi kempen pendedahan dan penyebaran keistimewaan yang diperoleh kelompok elit terbabit, sekali gus membangkitkan penentangan massa.
11. Dari segi politik antarabangsa pula, pertengahan bulan Januari ialah waktu yang cukup getir buat Iran. Presiden Trump bakal membuat keputusan besar pada waktu tersebut iaitu sama ada meneruskan kelonggaran sekatan eksport minyak Iran atau mengenakan sekatan terbaru ke atas Tehran. Dengan rekod kerugian sebesar USD 260 bilion akibat sekatan lalu, Iran dijangka bakal berhadapan kerugian yang lebih besar sekiranya Trump memutuskan untuk mengenakan sekatan yang terbaru.
12. Posisi geostrategik Iran di Asia Barat juga bakal terjejas meskipun berjaya membentuk pakatan penaja keamanan Syria bersama-sama Turki dan Rusia. Sekatan eksport minyak seterusnya bakal menggugat kemaraan Iran di Yaman, serta juga pakatan mereka bersama Hizbullah di Lubnan. Hubungan pertahanan Iran-Pakistan susulan lawatan bersejarah Ketua Angkatan Tentera Pakistan Jeneral Qamar Javed Bajwa ke Tehran pada November 2017 juga bakal terkesan, apatah lagi dengan ugutan Trump memotong bantuan ekonomi kepada Pakistan baru-baru ini.
13. Namun demikian, Iran kini bukan sahaja disokong Rusia dan China, malah Kesatuan Eropah (EU) turut tegas mempertahankan keputusan rundingan 2015 yang membolehkan Iran untuk mengeksport hasil petroleum mereka. Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherinni tegas mempertahankan persetujuan yang dicapai sewaktu era Obama tersebut pada November 2017, hingga ke tahap memberi ingatan kepada Trump bahawa ia tidak boleh disemak mahupun dirunding semula. Walau bagaimanapun, sepertimana yang dibuktikan Trump dalam kes Baitulmaqdis, beliau tidak teragak-agak untuk menentang sesiapa sahaja, termasuk negara sekutunya sendiri asalkan objektif beliau tercapai. Adakah beliau bakal mengerahkan langkah yang sama ke atas Iran?
Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber Hancurkah Iran Di Tangan Trump?