‘Hantu pocong’ usik kanak-kanak balik mengaji ditahan polis

Polis yang menahan meminta 'hantu pocong' itu melompat-lompat sambil disaksikan orang ramai.

polis_kids_pochong_6004

ALOR SETAR: Tindakan seorang remaja lelaki yang mahu mengusik kanak-kanak yang pulang daripada mengaji Al-Quran dengan berpakaian menyerupai “hantu pocong” membawa padah apabila ditahan polis di pekan Bukit Pinang malam Jumaat lalu.

Mohd Imran Mohammad, 16 berkata, dia bersama 3 rakannya ditahan kira-kira pukul 10.00 malam Jumaat selepas mereka terserempak dengan seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

Menurut Mohd Imran, dia dan rakannya hanya berniat untuk mengusik kanak-kanak berkenaan dan beberapa rakan mereka yang sedang melepak di Taman Pinang Jaya di Bukit Pinang.

Video penahanan 4 remaja terbabit dengan seorang daripada mereka yang menyerupai pocong itu tular di laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu hingga mencuit hati pengguna Facebook.

Ia berdurasi 30 saat yang menunjukkan Mohd Imran membalut tubuh dengan kain selimut berwarna kelabu dan melompat seperti pocong.

Katanya, sebelum itu, 3 rakannya membalut tubuhnya dengan menggunakan kain selimut dan mengikat pada bahagian kepala sebelum keluar membonceng motosikal yang ditunggangi seorang rakan dan 2 lagi rakannya menunggang sebuah lagi motosikal.

“Hasrat kami tak kesampaian apabila tidak sampai 15 minit membonceng, kami terserempak dengan seorang anggota polis bermotosikal yang nampak terkejut dengan kelibat pocong sebelum bertindak menahan kami.

“Saya yang menyerupai pocong diminta melompat-lompat seperti pocong sambil disaksikan orang ramai yang berhenti untuk melihat,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang hari ini

Berikutan itu, beliau dan 3 rakannya itu dibawa ke Balai Polis Kepala Batas sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

“Kami diberi nasihat supaya tidak lagi melakukan perbuatan seperti itu lagi kerana ia boleh mengakibatkan kejadian lebih buruk seperti kemalangan jalan raya dan menyebabkan orang terkejut dan diserang sakit jantung,” katanya yang turut menyatakan kekesalannya dengan perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan mendapati ia merupakan perbuatan nakal remaja terbabit dan tidak mempunyai niat jenayah lain seperti mencuri atau melibatkan kehilangan harta benda.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber ‘Hantu pocong’ usik kanak-kanak balik mengaji ditahan polis

Post a Comment

Previous Post Next Post