Hasrat Kelantan julang piala tidak kesampaian

IMPIAN Kelantan menjulang piala pertama tidak kesampaian apabila tewas 3-4 kepada Ratchaburi FC pada perlawanan Piala Super Cup Boost Super Fix di Stadium Bukit Jalil, sebentar tadi.

Ketinggalan tiga gol namun berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum kesilapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menepis bola dengan kemas hantaran pemain lawan menyebabkan The Red Warriors berputih mata.

Kemenangan Ratchanburi FC ke atas Kelantan ini 'membantu' Persija Jakarta untuk merangkul gelaran kejuaraan Piala Super Cup Boost dengan perbezaan jaringan bolos memihak kepada wakil pasukan dari Indonesia ini.

Berdasarkan perkiraan, kesemua ketig-tiga pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini meraih tiga mata namun perbezaan jumlah gol yang dilepaskan memihak Persija Jakarta apabila hanya melepaskan dua gol berbanding Kelantan (empat bolos) dan Ratchaburi FC dengan enam bolos.

Menurunkan kesemua pemain import bagi memburu sekurang-kurangnya keputusan seri untuk merangkul kejuaraan Piala Super Cup Boost Super Fix, Kelantan turun dengan semangat membara ditambah kehadiran penyokong kira-kira 10,000 yang hadir seawal jam 6 petang.

Khairul Fahmi Che Mat yang mempamerkan aksi cemerlang pada pertembungan menentang Persija Jakarta, Selasa lalu terlebih dahulu diuji melalui penyerang lawan, Kang Soo II pada minit ketiga namun Khairul Fahmi bijak menafikan percubaan tersebut.

Tersentak dengan percubaan lawan, Kelantan kembali mengatur serangan melalui rangkaian penggempur import Ferdinand Alferd Sinaga, Bruno Lopez dan Do Dong Hyun.

Lopez hampir menceriakan penyokong Kelantan pada minit ketujuh apabila lariannya berjaya mengatasi kekangan pertahanan lawan, Andre Joel Sami namun sepakannya berjaya ditepis penjaga gol Ratchaburi, Kridsada Monchai.

Kelantan yang ghairah memburu gol awal bagaimanapun dikejutkan jaringan pemain lawan, Kang Soo II yang bijak menewaskan Khairul Fahmi.

Menyedari gol penyamaan perlu dicari, Kelantan terus menggandakan serangan dari bahagian sayap kanan dan tengah melalui beberapa percubaan berbahaya dari Sinaga dan Lopes namun Monchai bertindak cemerlang menafikan impian Kelantan.

Usaha berterusan Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila bekas penyerang import UiTM FC, Dong Hyun memanfaatkan peluang terhidang di dalam kotak penalti lawan dengan melepaskan rembatan kencang menewaskan Monchai pada minit ke 20.

Gol penyamaan tersebut nyata telah merubah tempo perlawanan dengan kedua-dua pasukan sering bersilih ganti melakukan serangan memburu gol kedua.

Memasuki separuh masa kedua, Kelantan mula melakukan serangan selepas wisel perlawanan dibunyikan pengadil melalui Lopes namun percubaan pemain import dari Brazil itu sedikit tersasar.

Penyokong TRW sekali lagi dikejutkan apabila Chutipon Tongtae berjaya memperdayakan Khairul Fahmi dengan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke 54 untuk kedudukan 3-1.

Enggan berputus asa, Pahlawan Merah terus melancarkan serangan dan Lopes akhirnya berjaya menggegarkan gawang pelawat pada minit 75 untuk kembali menghangatkan permainan dan menggamatkkan suasana dalam stadium.

Selepas Lopes meledak gol kedua, selang tiga minit kemudian tiba giliran Sinaga untuk memahat nama selaku penjaring apabila mudah menolak masuk untuk menewaskan Monchai buat kali ketiga.

Ketika piala sudah berada dalam genggaman dan memasuki 90 minit masa perlawanan, kegagalan Khairul Fahmi menolak kemas bola hantaran dari pemain lawan memberi peluang buat pasukan lawan menjaringkan gol keempat perlawanan.

Dua peluang terhidang ketika perlawanan memasuki masa tambahan diperoleh Margaro Lim Gomis dan Danial Asyraf yang gagal diterjemahkan dengan jaringan nyata menghampakan penyokong TRW dan memastikan kemenangan mutlak buat Ratchaburi.



Sumber Hasrat Kelantan julang piala tidak kesampaian

Post a Comment

Previous Post Next Post