'Hati tak tenang selagi tak jumpa'

KUALA LUMPUR: Anggota UNIC, Najdi, mengaku tidak tenang selagi belum memohon maaf daripada rakan sekumpulan, Bazli Hazwan Che Osman, berhubung 'persengketaan' mereka.

Najdi atau nama penuhnya Wan Najdi Wan Mohd Noh, 26, masih mencari waktu sesuai berbuat demikian berikutan Bazli dan seorang lagi anggota kumpulan nasyid itu, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, sibuk melakukan persiapan menjayakan pentas akhir Anugerah Nasyid 2017 (AN2017).

Najdi yang juga bekas peserta program Imam Muda berkata, dirinya terlalu emosi ketika mengeluarkan kenyataan sebelum ini.

Baru-baru ini, pemuda itu membuat keputusan menarik diri daripada kumpulan berkenaan, malah dikatakan takkan bersama dua temannya itu pada AN2017.

"Mungkin saya yang terlalu emosi. Saya belum berbincang dengan UNIC mengenai semua ini. Lagipun, mereka sibuk membuat persiapan untuk (AN2017) Sabtu ini.

"Saya sendiri sedang mencari ruang untuk meminta maaf daripada Bazli. Dengan apa yang berlaku, seolah-olah saya memburukkan dirinya.

"Walaupun banyak kali kena marah dengannya, saya memang hendak berjumpa dengan Bazli. Selagi tak jumpa, hati saya takkan tenang," katanya kepada BH Online.

Mengenai pembabitannya dalam anugerah berkenaan, Najdi sendiri belum pasti mengenainya.

"Bab itu, saya tak pasti. Lagipun, mereka abaikan saya dulu kerana mahu fokus kepada persiapan menghadapi pertandingan berkenaan," katanya.

Mengimbas 'episod panas' membabitkan dirinya dengan Bazli, Najdi mendakwa sudah lama menahan sabar.

"Terbaru ketika terbabit dengan sebuah persembahan, dia 'sound' (menegur) saya. Ketika itu, saya melakukan kesilapan ketika menyanyi.

"Saya sudah banyak kali bersabar dengan sikapnya. Dia pun jenis yang cakap depan. Sebagai anggota yang baru dua tahun bersama UNIC, saya lebih banyak berdiam," katanya.

Tahun lalu, gandingan mereka bertiga membawa kejayaan kepada kumpulan itu apabila diumumkan juara program Gema Gegar Vaganza (GGV).

Sejak ditubuhkan pada 2002, UNIC sudah beberapa kali bertukar anggota. Sebelum ini, ia turut dianggotai oleh Hafiz Hamidun, Mohamad Fitri Mohamad Haris, Ahmad Fadzli Abd Aziz, Wan Sharifuddin Wan Hassan, Mohd Afendi Jahri dan Syed Mohd Azlan Syed Amirruddin.

Penghujung tahun lalu, UNIC muncul dengan single terkini berjudul Sedar, yang menggandingkan mereka bersama artis rap, Caprice.



Sumber 'Hati tak tenang selagi tak jumpa'

Post a Comment

Previous Post Next Post