SEREMBAN, 23 Jan — Polis menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes kebakaran Tokong Then Sze Koon berusia 154 tahun yang merupakan antara tokong tertua di Negeri Sembilan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di hadapan sebuah restoran di Jalan Temiang, dekat sini pada pukul 12.15 tengah hari.
“Polis turut merampas sebuah tabung disyaki milik tokong yang terbakar, pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian dan sebuah motosikal dan helmet,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Thiew berkata melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tokong berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di dalam tokong berkenaan sebelum kebakaran.
“Menerusi CCTV juga, suspek yang sama kelihatan menggeledah beberapa ruang pejabat di dalam tokong untuk mencuri wang. Bagaimanapun, anggaran kerugian belum dapat dipastikan,” katanya
Thiew berkata suspek yang disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, iaitu khianat menggunakan api dengan niat membinasakan bangunan akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini bagi permohonan reman.
Tokong Then Sze Koon yang terletak di Temiang musnah kira-kira 40 peratus dalam kebakaran, pagi Ahad tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tokong itu yang turut dikenali sebagai Centipede Temple adalah sebuah tokong bersejarah di Seremban yang didirikan pada tahun 1864 dan menjadi sebuah daripada lokasi tumpuan pelancong di sini. — Bernama
Sumber Jumpa barang bukti, lelaki bakar tokong 154 tahun ditahan