SEOUL: Sebuah kapal tangki yang terbabit dalam kemalangan dengan kapal kargo di perairan Lautan China Timur, dilaporkan masih terbakar pagi ini.
Nasib semua 32 kru kapal yang disahkan hilang dalam kemalangan itu, bagaimanapun masih tidak diketahui.
Kapal tangki Sanchi milik syarikat kapal tangki terkemuka Iran berkenaan berlanggar dengan sebuah kapal kargo, CF Crytal kira-kira 160 batu nautika berhampiran perairan Shanghai di kuala Sungai Yangtze, lewat Sabtu lalu.
Visual oleh rangkaian televisyen kerajaan China, CCTV menunjukkan api marak menyala dengan asap tebal menyelubungi sekitar tempat kejadian.
Kerajaan China difahamkan menghantar empat kapal penyelamat dan tiga kapal pembersih, manakala Korea Selatan menghantar bantuan terdiri daripada kapal dan helikopter penyelamat.
Sanchi yang didaftarkan di Panama sedang belayar dari Iran menuju ke China dengan membawa 136,000 tan minyak mentah atau bersamaan satu juta tong dengan anggaran nilai AS$60 juta (RM238 juta) mengikut pasaran semasa. - Reuters
Sumber Kapal tangki terbabit kemalangan masih terbakar