Kes ragut enam wanita sehari, bekas banduan ditahan

Seorang penagih dadah ditahan polis Perlis kerana meragut enam wanita dalam masa sehari. ― Foto ReutersSeorang penagih dadah ditahan polis Perlis kerana meragut enam wanita dalam masa sehari. ― Foto ReutersKANGAR, 9 Jan ― Polis memberkas seorang penagih dadah yang baru dibebaskan dari penjara bulan lepas kerana meragut enam penunggang motosikal wanita dalam masa sehari di Padang Besar, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata lelaki berumur 25 tahun itu yang menjalani hukuman penjara selama setahun akibat kesalahan dadah, diberkas di Pengkalan Asam di sini.

“Penagih terbabit melakukan kegiatan jenayahnya seorang diri dengan menunggang motosikal yang dipinjam dan mangsa pertamanya seorang  jururawat yang diragut beg tangan yang diletak di dalam raga motosikal semasa menunggang ke tempat kerja kira-kira pukul 7.20 pagi.

“Mangsa keenamnya ialah seorang jurujual kedai buku diragut kira-kira pukul 2.10 petang namun semua mangsa yang berumur 17 hingga 39 tahun itu tidak mengalami kecederaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azisman berkata penagih tersebut akan mengekori mangsa-mangsanya dan meragut beg tangan mereka semasa berhenti di lampu isyarat atau semasa dalam keadaan perlahan untuk berhenti sebelum memecut lari.

“Anggota polis yang mengecam nombor motosikal penagih itu semasa tersempak di Pengkalan Asam kira-kira pukul 7 malam keesokannya berjaya memberkas beliau,” katanya dan menambah jumlah wang tunai dan beberapa telefon bimbit yang diragut semuanya bernilai kira-kira RM1,300.

Menurut Azisman, ujian air kencing yang dibuat mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek juga mempunyai lima kes jenayah lampau, ditahan reman sehingga 13 Januari ini bagi membantu siasatan.

Dalam kes lain, polis Perlis memburu Mohd Fadzri Isnu Fadzil, 25, yang dipercayai suspek utama kes pecah rumah seorang guru wanita di Padang Melangit, Beseri, dekat sini pada 4 Jan lepas.

Guru wanita berumur 34 tahun itu kehilangan barang-barang kemas dianggarkan bernilai RM12,000.

Tiga suspek iaitu seorang wanita berumur 50 tahun dan anak lelakinya berusia 17 tahun serta rakan mereka berumur 29 tahun berjaya diberkas polis di Chuping Sabtu lepas dan sebahagian barang kemas  tersebut ditemui semula, kata Azisman.

Azisman berkata alamat terakhir Mohd Fadzri ialah Kampung Titi Tampang, Jalan Kilang Gula, Chuping dan beliau berharap orang ramai yang mengetahui kedudukan lelaki itu supaya meyalurkan maklumat kepada polis di balai berhampiran mereka. ― Bernama



Sumber Kes ragut enam wanita sehari, bekas banduan ditahan

Post a Comment

Previous Post Next Post