KLUANG, 9 Jan ― Dua lelaki memecah masuk dua surau dekat sini, sejak akhir tahun lalu bagi mencuri wang kutipan derma.
Tabung di Surau Al-Jamiah, Kampung Melayu dan Surau Taman Sri Kluang diumpil sebelum kutipannya dilarikan. Pembesar suara juga dicuri, lapor Berita Harian.
Mereka dikatakan memecah masuk dua rumah ibadat itu, menggunakan kuku kambing, playar, pemotong besi, pemotong skru dan spanar.
Seorang daripada mereka, usia 25 tahun, diberkas kariah surau dan penduduk kampung yang melakukan intipan sekitar jam 2 pagi Sabtu lalu.
“Suspek ditahan selepas kariah serta penduduk Surau Al-Janiah, Kampung Melayu yang melakukan rondaan menyedari kehadiran dua lelaki mencurigakan menunggang motosikal memasuki pekarangan surau awal pagi kejadian,” kata ketua polis daerah Kluang.
ACP Mohamad Laham berkata wang tunai RM200 dari tabung surau ditemui pada suspek, sebelum membawa kepada penemuan RM1,000 lagi.
Suspek, positif dadah, direman empat hari bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk. Rakannya, usia 30-an, masih diburu.
Sumber Penyamun curi tabung surau, pembesar suara, rakan diburu