Ketua setiausaha: PH tiada parti dominan, semua sama taraf

Saifuddin Abdullah berkata, PH tidak sama dengan BN yang mempunyai Umno selaku 'Abang Long'.

saifuddin

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam gabungan pembangkang itu tidak ada parti dominan kerana semuanya sama taraf.

Katanya, PH tidak sama dengan BN yang mempunyai Umno selaku “Abang Long”.

“Dalam PH tidak ada parti dominan. Dalam PH tidak ada ‘big brother’.

“Hari ini, PH merupakan gabungan pembangkang yang betul-betul serius dan paling serius dalam sejarah Malaysia.

“Mereka berwang, kita berjuang. Mereka ramai tidur sebantal, mimpi lain-lain. Kita pun ramai, kita tak tidur, sebaliknya bangkit dengan suara rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Dalam pada itu, bekas timbalan menteri pendidikan tinggi itu memberi bayangan PH akan membuat pengumuman penting hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan calon perdana menteri gabungan pembangkang itu, yang dinanti-nantikan pemerhati politik, akan diumumkan dalam konvensyen PH hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan 3 parti komponen PH – PPBM, DAP dan Amanah – bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara, sehingga Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara dan layak mengambil alih jawatan itu.

Semalam, Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM tidak layak memegang jawatan perdana menteri.

“Bukan sebab umur. Dia sudah ada rekod sebagai negarawan, sebagai bekas perdana menteri, takkan kita nak naikkan dia sebagai perdana menteri lagi. Lebih wajar beliau jadi menteri sahaja,” kata ketua Wanita PKR itu.

Dr M: Misteri calon PM Pakatan Harapan akan disingkap Ahad ini


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Ketua setiausaha: PH tiada parti dominan, semua sama taraf

Post a Comment

Previous Post Next Post