Hari ini, kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dengan Ocean Infinity Limited untuk memulakan pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 2014.
Ia selepas persetujuan tripartit Malaysia-Australia-China untuk menerima tawaran daripada syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat yang yakin mampu merungkai misteri yang gagal dijawab seluruh dunia selama empat tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, mereka mempunyai keupayaan peralatan dan aset yang canggih serta pasukan yang berpengalaman luas berhubung penerokaan dasar laut untuk mencari pesawat tersebut di selatan Lautan Hindi.
“Kami telah melakukan 6,100 jam waktu selaman bagi lapan buah Autonomous Underwater Vehicle (AUV) milik kami dalam tempoh enam bulan yang lepas sejak Jun.
“Ada antara ahli pasukan kami yang telah mengendalikan AUV sejak ia mula dicipta, malah ada yang pernah terlibat dalam pencarian pesawat Air France yang terhempas di utara Lautan Atlantik pada 2009,” jelasnya.Sebelum ini, usaha tripartit melibatkan kos USD200 juta meliputi kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi itu tidak membuahkan hasil, dan dihentikan pada Januari tahun lepas walaupun pakar menggesa ia perlu diteruskan lagi ke 25,000 kilometer persegi arah utara.
Bagaimanapun, Plunkett tidak melihat ia sebagai satu usaha yang sia-sia malah membantu usaha baharu yang bakal bermula 17 Januari ini nanti untuk mengecilkan skop pencarian.
Plunkett bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menandatangai memorandum persefahaman (MoU).
Majlis tanda tangan MoU itu turut disaksikan Liow di Putrajaya di sini hari ini.
“Ketika ini, kapal Seabed Constructor (milik Ocean Infinity) sedang dalam perjalanan ke kawasan pencarian, mengambil kesempatan daripada cuaca baik di selatan Laut Hindi,” kata Liow.
Pasukan pencarian melibatkan 65 kru, dua daripadanya adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia berperanan selaku wakil kerajaan Malaysia di atas kapal.
Misi utamanya – mencari bangkai pesawat Boeing 777 tersebut dan/atau dua perakam penerbangannya iaitu Perakam Suara Kokpit (CVR) dan Perakam Data Penerbangan (FDR)/kotak hitam dalam tempoh 90 hari dalam kawasan lingkungan 25,000 kaki persegi.
Ia atas dasar ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ atau ‘no cure no fee basis’. Sekiranya jumpa, jumlah bayaran dipersetujui yang ditanggung kerajaan Malaysia sepenuhnya adalah tertakluk kepada kawasan penemuan: USD20 juta untuk lingkungan 5,000 kilometer persegi, USD30 juta untuk lingkungan 10,000 kilometer persegi seterusnya, USD50 juta untuk lagi 10,000 kilometer persegi dan USD70 juta sekiranya penemuan di kawasan melepasi lingkungan 25,000 kilometer persegi.
Pasukan pencarian akan memaklumkan keluarga dan waris mangsa menerusi mesej teks juga emel bagi perkembangan terkini pencarian di samping menerusi laman web http://ift.tt/2Dfwz69.
Dengan bermulanya usaha pencarian baharu ini, sedikit sebanyak mengembalikan sinar harapan kepada waris mangsa yang sekian lama menunggu misteri yang melanda orang tersayang di dalam pesawat tersebut terjawab.
“Saya gembira dengan pengumuman ini pada masa sama rasa panik, sepertimana yang dirasai empat tahun lalu apabila insiden ini mula-mula terjadi. Sekarang debaran penantian itu bermula sekali lagi,” kata seorang waris keluarga mangsa, Shin Kok Chau.
Seorang lagi waris, V.P.R. Nathan berkata, “sukar untuk kami selama empat tahun tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka. Kini kami hanya mahu pengesahan, itu sahaja."
Sumber Malaysia yakin Ocean Infinity mampu rungkai misteri MH370