ALOR SETAR, 23 Jan — Remaja berpakaian ala hantu “pocong” yang ditahan polis berjanji tidak mengusik lagi kanak-kanak pulang mengaji al-Quran.
Mohd Imran Mohammad, 16, menyesal dan “malu digelar pocong” susulan insiden beliau berselimut kelabu dan diikat menyerupai hantu itu, lapor Kosmo!.
Rakaman pelajar itu menyamar pocong, di pekan Bukit Pinang, dan rakan-rakannya menular di media sosial sejak Jumaat lalu ketika ditahan polis.
“Polis menasihatkan kami agar tidak melakukan perbuatan seperti itu lagi kerana ia boleh mengakibatkan kejadian buruk seperti kemalangan jalan raya.
“Dan menyebabkan orang terkejut dan diserang sakit jantung. Saya malu kerana orang kampung dan kawan-kawan menggelarkan saya sebagai pocong,” katanya.
Namun ketua polis Kota Star ACP Mohd Rozi Jidin berkata kumpulan remaja itu dilepaskan kerana perbuatan mereka “nakal” dan tiada niat jenayah.
Dalam insiden 10 malam itu, Mohd Imran mengakui mereka tidak sempat “mengusik” kerana terserempak dengan anggota polis yang sedang meronda.
“Saya yang menyerupai pocong diminta melompat-lompat seperti pocong selama 15 minit sambil disaksikan orang ramai yang berhenti untuk melihat,” katanya.
Muhammad Syazani Johari, 18, Muhammad Ramadhan Fitri Shuib, 15, dan Nabil Asyraff Hussain, 14, dibawa bersama Mohd Imran ke balai polis.
Sumber Malu digelar ‘pocong’, insaf selepas ditahan polis