Maut terperosok di belakang treler

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah treler membawa muatan besi yang berhenti di lorong kecemasan.

Mohd Sazzuan Mohd Agus, 30, seorang pekerja swasta, maut akibat kecederaan di kepala, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata nahas berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, menghala ke pusat bandar dari Plaza Tol Sungai Besi berhampiran susur ke Bukit Jalil.

"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, pemandu treler yang berusia 41 tahun itu berhenti di lorong kecemasan untuk menghubungi majikannya. Tiada sebarang tanda kenderaan berhenti diletakkan di belakang treler terbabit.

"Kereta mangsa kemudiannya merempuh dan terperosok di bahagian belakang treler.

"Lokasi kemalangan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini, tiada saksi yang melihat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber Maut terperosok di belakang treler

Post a Comment

Previous Post Next Post