PKR Selangor kecewa Tun M calon PM

SHAH ALAM: Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad, berkata parti itu perlu mengangkat calon baharu sebagai perdana menteri, bukannya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang mengecewakan selepas PKR melalui pelbagai cabaran serta perjuangan hampir 20 tahun, namun akhirnya individu lain dicalonkan sebagai perdana menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"PKR Selangor merasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang tempoh perjuangan kita, parti ini tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri.

"Golongan milenium mahu melihat seorang tokoh segar, kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh serta mampu untuk membawa negara ini keluar dari kepompong kerosakan," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Pakatan pembangkang semalam mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) itu sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon timbalan perdana menteri.

Hizwan berkata, beliau yakin rakyat serta penggerak Reformasi 1998 tidak akan melupakan sejarah yang berlaku, sekali gus menuntut reformasi sepenuhnya dilakukan dalam semua aspek.

"Walaupun pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi, namun PKR Selangor yakin semua pihak dapat menolak perbezaan pendapat menjelang PRU-14," katanya.



Sumber PKR Selangor kecewa Tun M calon PM

Post a Comment

Previous Post Next Post