Mayat remaja Rohingya dihanyut arus, dijumpai

HULU TERENGGANU: Mayat remaja Rohingya, Muhammad Rahim Salleh Ahmad, 17 tahun, yang dihanyut arus deras ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Terengganu ditemui kira kira jam 2:08 minit pagi tadi (Rabu).

Mangsa dijumpai dalam keadaan terapung beberapa meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Jenazah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa diperluas sehingga 10 kilometer selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat gagal mengesan mangsa.

Jumlah pasukan penyelamat ditambah kepada 56 anggota membabitkan pencarian hingga ke Telemong, Hulu Terengganu.

Bagaimanapun arus deras serta dasar sungai yang dipenuhi tunggul dan ranting kayu menyukarkan unit selam yang menyertai operasi berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang Ahad lalu, Muhammad Rahim hilang ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Terengganu selepas bermain bola di padang rekreasi.

Mangsa kemudiannya dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan seorang rakan mereka yang hampir lemas.

Muhammad Rahim adalah anak sulung dari lima beradik dan belajar di Madrasah Hidayah Rohingya Datuk Abd Rahman, Kuala Berang sejak setahun lalu.



Sumber Mayat remaja Rohingya dihanyut arus, dijumpai

Post a Comment

Previous Post Next Post