KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menyasarkan capaian pasaran bagi empat stesen televisyennya iaitu TV3, TV9, 8TV dan NTV7 meningkat kepada 40 peratus berbanding 34.4 peratus pada masa ini.
MPTN kini mendahului industri dengan keupayaan untuk mencapai sasaran kumpulan penonton terbesar iaitu melebihi 28 juta rakyat Malaysia setiap hari menerusi semua stesen televisyen berkenaan.
Empat stesen televisyen itu juga menguasai 51 peratus daripada keseluruhan jumlah penonton pada waktu puncak iaitu 8 malam hingga 9 malam.
Ketua Eksekutif MPTN, Johan Ishak, berkata pihaknya akan terus melabur dalam siaran kandungan tempatan kerana ia membawa identiti unik berbanding pesaing lain.
"Kami bekerja dengan orang yang paling berbakat untuk menyampaikan siaran kandungan terbaik di seluruh platform televisyen dan digital kami.
"Berdasarkan Unjuran Penonton Nielsen, TV3 terus mempertahankan kedudukannya sebagai saluran premium nombor satu penonton dengan memiliki 30 program teratas di semua saluran pada tahun 2017," katanya pada sidang media selepas majlis MPTN Screenings di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Eksekutif Media Prima Digital (MPD), Rafiq Razali. MPTN Screenings adalah acara tahunan yang membentangkan pelbagai kandungan baharu yang akan disampaikan menerusi semua platform media pada tahun ini.
Sementara itu, Rafiq berkata MPD kini berada di landasan yang tepat untuk pertumbuhan yang lebih baik tahun ini.
"Pertumbuhan yang dicatat tahun lalu amat memberangsangkan dan kami mahu meneruskan momentumnya pada tahun ini.
"Selain itu, MPD juga akan terus melihat prospek yang berpotensi bagi tujuan pengambilalihan," katanya.
INFO:
*MPTN Screenings akan membantu memantapkan kedudukan MPN menerusi televisyen serta platform digital dari segi capaian
Sumber MPTN sasar capaian pasaran 40 peratus