Gembira dengan penerimaan Pematah Hati. (Pic: Instagram @nabila.razali)
Penangan lagu Pematah Hati ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dinyanyikan Nabila Razali sejak tahun lalu ternyata buat hidup penyanyi wanita itu terus wow!
Lagu itu membawa penyanyi yang juga pelakon itu ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Ia benar-benar mengubah skala hidup dirinya kini. Malah line cumi cumi atau cuba miss call yang digunakan dalam lagu berkenaan juga menjadi trending dan viral.
Kehadiran video muzik Pematah Hati yang turut menampilkan pelakon remaja, Aedy Ashraf di samping Nabila turut menambah ledakan lagu berkenaan.
Gimik awal yang melihat Nabila dan Aedy kononnya bercinta turut menambah rencah. Nabila hingga kini juga turut terhutang budi dengan Aedy kerana kesudiannya berlakon video muzik lagu itu.
Sekalipun ada yang mengecam gimik itu yang bersifat murahan pada awalnya, Nabila bersyukur kerana pengakhirannya membuahkan hasil hingga dia semakin dikenali.
“Sekalipun Aedy memilih untuk tidak memberikan komen mengenai komitmennya dalam video muzik itu termasuk gimik yang dibangkitkan, ia bukan satu masalah besar. Lagu itu dan video muzik tetap berjalan dengan baik dan diterima ramai.
“Saya hormati apa saja prinsip dan caranya. Dia sangat profesional. Malah dengan dia tidak memberi komen mengenai gimik cinta kami pun, ia sedikit banyak buat orang lagi ingin tahu fasal kewujudan lagu itu.
“Begitu juga dengan dia memilih untuk tidak mempromosikan komitmennya untuk video muzik itu. Bagi saya dia sudah melakukan yang terbaik untuk menghidupkan karakter heart breaker dalam lagu itu. Kalau dia tak membawa watak itu, mungkin gimik ini tak akan menjadi. Alhamdulillah semua tersusun cantik,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Kehidupan Nabila yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kesepuluh juga berubah drastik kini.
“Lagu Pematah Hati sejujurnya mengubah nasib saya. Saya sendiri tak sangka ia mendapat pendedahan sebesar ini hingga mengumpul peminat baharu.
“Saya hanya mampu memanjat kesyukuran. Video muzik lagu itu saja meneroka sayapnya sekali gus tular ke luar negara.
“Lagu itu juga dibikin parodi. Malah tagline Cumi Cumi juga diperkatakan. Lebih 2000 muat naik parodi lagu itu dilakukan di pelbagai platform termasuk di YouTube dan Instagram,” katanya.
Sumber Nabila Razali Hormati Prinsip Dan Cara Aedy Asraf