Nama bakal bermula dengan huruf N. (Pic: Instagram @noradanish)
Dijangka melahirkan anak kedua pada Mac depan, Nora Danish bagaimanapun sengaja merahsiakan jantina anaknya untuk memberi kejutan kepada fans tersayang dan pengikutnya di laman sosial.
Ikut jangkaan, Nora akan melahirkan anak keduanya pada 9 Mac depan. Tapi kata Nora, dia seboleh-bolehnya mahu tarikh kelahiran anaknya itu jatuh tepat pada ulang tahun kelahirannya iaitu pada 7 Mac.
“Saya, suami dan keluarga memang sudah tahu jantina anak. Ikutkan sejak awal lagi dah tahu. Tapi biarlah dirahsiakan dulu jantina sehingga kelahirannya. Biarlah ia jadi kejutan. Segala kelengkapan untuk anak kami sudah disediakan, tetapi hanya sederhana kerana saya pun tidak mahu membazir.
“Nama anak pun sudah disenaraikan cuma belum diputuskan lagi. Sebenarnya tidak kisah dikurniakan anak lelaki atau perempuan. Pastinya nama anak kami akan bermula dengan huruf N," katanya kepada Rojak Daily Kaw!
Tambah pelakon filem Syurga yang Tak Dirindukan 2 itu, pengalaman mengandung kali ini sangat mencabar kerana pergerakannya jadi terhad.
“Ditambah dengan beza usia dan jarak waktu hamil yang mencecah hampir 10 tahun juga memberikan saya pengalaman baru.
“Cuma hamil kali ini begitu indah kerana suami sentiasa di sisi. Masa hamil anak sulung, Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram, 9, saya terpaksa mengharunginya bersendirian apabila rumah tangga berantakan.
“Curahan kasih sayang yang dicurahkan suami membuatkan hati saya sentiasa bahagia dan tenang sehingga sakit pun tidak terasa. Mungkin ada yang tidak percaya, berat badan saya meningkat sehingga 15 kilogram ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan. Sampai saya cepat penat dan mengah” katanya.
Nora baru-baru ini turut melancarkan produk kosmetik miliknya dipanggil Oh Most Wanted yang sudah dua tahun dipasarkan, tetapi tiada hebahan mengenainya ketika itu kerana dia terikat dengan kontrak lain.
Sumber Nama Anak Nora Danish Bakal Bermula Dengan Huruf N